AM

40 Pakar Rujuk, Pemain Industri Berkongsi Pandangan Pada SMIX2024

10/09/2024 09:38 PM

MELAKA, 10 Sept (Bernama) -- Sebanyak 40 panel dalam kalangan pakar rujuk selain pemain indusrti digital serta teknologi pintar termasuk dari luar negara akan terlibat dalam Persidangan Antarabangsa dan Pameran Smart Melaka 2024 (SMIX2024) pada 10 dan 11 Okt ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata antara yang terlibat adalah dari Singapura, Korea Selatan, Jerman, Belanda dan New Zealand.

Beliau berkata penganjuran kali ketiga yang bertemakan Better Cities: Global Mindset with Local Adaptability itu akan memberi fokus kepada konsep persidangan dan pameran berbanding penganjuran tahun sebelumnya.

“Kerajaan negeri telah melantik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) sebagai agensi pelaksana dan mereka akan bekerjasama dengan Knowledge Group bagi menjayakan persidangan dua hari berkenaan.

"Lebih 200 peserta membabitkan 10 sesi forum dijangka terlibat dan tiga personaliti berprofil tinggi juga turut ditampilkan bagi memberi ucaptama SMIX2024,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyurat Prapelancaran SMIX2024 di sini hari ini.

Fairul Nizam berkata lima topik utama diketengahkan pada persidangan edisi kali ini iaitu tadbir urus dan ekonomi pintar, infrastruktur digital pintar, mobiliti pintar, masyarakat dan kehidupan pintar, dan persekitaran pintar.

Beliau berkata 10 pempamer terdiri daripada agensi dan syarikat teknologi digital dan bandar pintar akan terlibat pada persidangan berkenaan dan program sampingan lain turut diadakan seperti pembentangan perniagaan kepada pemula dan penerangan produk.

Menurutnya, penganjuran SMIX2024 penting untuk memperluas inisiatif pintar dan pemerkasaan data di bawah Smart Melaka sejajar dengan hala tuju Pelan Strategik Melakaku Maju jaya 2035 (PSMJ 2035).

"Saya berharap SMIX2024 dapat memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat pintar khususnya di Melaka selain memperkasa agenda pendigitalan serta bandar hijau di negeri ini pada masa hadapan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan