KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan komuniti Cina di Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi negara, sektor ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan perindustrian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menyanjung tinggi peranan usahawan Cina di Malaysia dan di peringkat global, kerana memikul tugas memacu ekonomi tempatan dan antarabangsa.
“Dalam dunia penuh kerumitan dan ketidakstabilan, ketidaktentuan dan ketidakpastian yang semakin meningkat, usahawan Cina di seluruh dunia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan penting dan mempromosikan agenda pembangunan sosio-ekonomi global kita.
“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucaptama di Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, kerajaan akan terus mengutamakan peningkatan landskap ekonomi, memupuk persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan inovasi.
Beliau berkata pada masa yang sama kerajaan terbuka terhadap sebarang cadangan mengenai apa yang perlu dilakukan bagi memupuk persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan inovasi.
"Kita di sini bukan untuk mengusulkan bahawa ia (Rangka Kerja MADANI) adalah sistem dan dasar yang sempurna, kita berada di sini untuk mentadbir dan belajar serta membuat pelarasan yang sewajarnya kerana asasnya kekal demi kemajuan ekonomi," katanya.
Anwar berkata hanya melalui kejayaan ekonomi kerajaan dapat memastikan perumahan, kesihatan dan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat, termasuk keterangkuman.
Sementara itu beliau berkata Malaysia dan China telah menikmati hubungan dua hala yang telah lama terjalin, dan disokong oleh hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh, yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia tetapi juga membantu rantau ini untuk terus meneruskan dasar tersebut.
Beliau berkata lawatan Perdana Menteri China Li Qiang pada Jun lepas mengesahkan persahabatan yang berkekalan dan saling menghormati antara Malaysia dan China.
“Kita telah meletakkan asas kukuh untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor utama dan inovatif baharu yang akan memacu ekonomi ke hadapan,” katanya.
Beliau menambah bahawa hubungan itu melangkaui dasar dan amalan pelaburan tradisional dan ia telah berkembang menjadi rangka kerja ekonomi baharu lebih kompetitif yang merangkumi bukan sahaja pelaburan, tetapi juga sektor lain termasuk pelancongan.
Kira-kira 4,000 pemimpin perniagaan tempatan dan delegasi luar negara menghadiri Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC) ke-17 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) itu.
Acara tiga hari yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sejak semalam itu turut dihadiri delegasi dari Asia, Eropah, Timur Tengah, Amerika Utara dan Selatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial