POLITIK

MIC Sedia Kukuhkan Parti, Hadapi Cabaran Masa Depan

09/09/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- MIC bertekad untuk berusaha mengukuhkan kerjasama sesama pemimpin dan kembali memartabatkan kedudukan parti berkenaan dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata setelah ketua sayap Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri dilantik baru-baru ini, parti berusia 78 tahun itu lebih bersedia menghadapi cabaran politik masa depan.

"MIC kini tanpa sebarang tanggungjawab terus dalam kerajaan sekarang dan ini merupakan cabaran dihadapi parti dan ia mungkin berlarutan.

"Barisan pemimpin belia MIC kini lebih bertenaga dan aktif dalam membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India, yang memberi tenaga baharu kepada parti," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Beliau berkata Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran sedang melakukan pelbagai langkah penambahbaikan bagi menempuhi cabaran masa depan parti terbabit untuk terus kekal sebagai sebuah wadah politik yang terbaik bagi masyarakat India di negara ini.

Saravanan berkata pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini turut dikemukakan pada konvesyen itu khususnya jumlah kemasukan dalam program matrikulasi serta kesukaran mendapat tawaran dalam jurusan pilihan pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Kita berharap jumlah tawaran matrikulasi diberikan secukupnya kepada masyarakat India dan isu-isu ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata sayap Putera dan Puteri kini dalam usaha untuk membimbing dan juga menggalakkan para pelajar sekolah menengah untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) melalui bantuan pendidikan yang disediakan parti itu.

Sementara itu, "One Stop Service Center" Wanita MIC turut dilancarkan pada konvensyen berkenaan bagi menggalakkan golongan wanita untuk tampil berkongsi masalah yang dihadapi mereka.

Ketua Wanita MIC N. Saraswati berkata pusat itu yang akan beroperasi selama dua kali sebulan di ibu pejabat MIC di sini menawarkan bantuan dari segi kebajikan, pendidikan serta bantuan guaman kepada golongan wanita yang memerlukan.

Sebanyak 1,200 perwakilan menghadiri konvensyen itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan