AM

KPM KOMITED MEMBUDAYAKAN AMALAN PEMAKANAN SIHAT DALAM KALANGAN MURID

14/06/2024 04:11 PM

KUANTAN, 14 Jun (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) komited membudayakan amalan pemakanan berkhasiat serta seimbang dalam kalangan lima juta murid dan pelajar di 10,232 buah sekolah di seluruh negara bagi melahirkan masyarakat yang sihat, sejajar dengan matlamat kerajaan MADANI. 

Pengarah Sumber Dan Teknologi Pendidikan kementerian Zainal Abas berkata KPM memandang serius gaya pemakanan sihat mengikut kumpulan piramid makanan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana ia merupakan elemen utama dalam tumbesaran murid.

Beliau berkata peringkat persekolahan merupakan proses tumbesaran murid dan kerana itu, pengambilan makanan yang seimbang adalah penting bagi mereka mendapatkan zat serta nutrisi yang berkhasiat untuk antibodi dan tumbesaran tubuh badan.

“KKM sebelum ini ada mengeluarkan data seperti kadar obesiti dan murid yang bantut, semua ini berkait rapat dengan makanan. Kita mahu bukan sahaja murid tetapi juga guru serta ibu bapa mereka sedar bahawa pemakanan itu berdasarkan keperluan tenaga dan kumpulan pemakanan betul.

”Kerana itu KPM meluncurkan Kempen Amalan Pemakanan Sihat hari ini sebagai antara satu lagi program yang mendokong kepada amalan gaya hidup sihat yang telah dilakukan kementerian sebelum ini dan usaha ini akan kita giatkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau yang juga menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) berkata demikian kepada media selepas meluncurkan Kempen Amalan Pemakanan Sihat Peringkat Kebangsaan 2024  di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin di sini hari ini. 

Zainal berkata kempen itu akan memberi pendedahan lebih meluas mengenai kepentingan mengamalkan gaya pemakanan sihat, mendidik murid untuk mengamalkan corak pemakanan sepertimana dalam piramid makanan serta memberi pendedahan amalan diet yang betul dan seimbang. 

Bagi memastikan keberkesanannya, beliau berkata pelbagai program yang menyumbang kepada kehidupan proaktif telah diatur KPM sepanjang tahun ini yang akan turut sama melibatkan ibu bapa memandangkan masa murid bersama keluarga adalah lebih banyak berbanding di sekolah.

“Kita tahu pemakanan sahaja tidak memadai dan kerana itu, pelbagai program dirangka KPM dari segi aktiviti sukan, luar bilik darjah untuk murid kekal aktif dengan didokong pemakanan sihat supaya tumbesaran mereka dapat dirancang bersama untuk Malaysia betul-betul sihat. 

“Mengamalkan gaya hidup sihat daripada awal dapat menghindarkan mereka daripada terkena  penyakit darah tinggi, kencing manis atau NCD (penyakit tidak berjangkit) sekali gus melahirkan masyarakat yang produktif serta sejahtera,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan