DUNIA

BAHASA VIETNAM ANTARA SUBJEK PILIHAN DI UNIVERSITI MALAYA

14/06/2024 12:36 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama-VNA) – Bahasa dan Budaya Vietnam telah diperkenalkan semula sebagai satu subjek pilihan di Universiti Malaya (UM) - salah sebuah universiti awam terkemuka di Malaysia.

Kira-kira 100 hingga 140 pelajar di Fakulti Bahasa dan Linguistik (FLL) kini mempelajari Bahasa dan Budaya Vietnam, kata Dekan FLL Profesor Surinderpal Kaur, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Para penuntut  terdiri daripada rakyat Malaysia, China, India, dan Indonesia.

Ditubuhkan sebagai Pusat Bahasa pada tahun 1972, FLL bertanggungjawab untuk menjalankan kursus bahasa yang relevan dengan keperluan universiti. Ia menawarkan Kursus Bahasa Vietnam sejak penubuhannya sehingga 2017 apabila satu-satunya pensyarah Bahasa Vietnam bersara.

Kursus Bahasa dan Budaya Vietnam disambung semula pada tahun 2023 selepas fakulti itu mengambil pakar Linguistik, Nguyen Thuy Thien Huong, yang dikatakan telah memberikan  inspirasi kepada  kakitangan dan pelajar FLL untuk mengetahui lebih lanjut tentang Vietnam.

Profesor Surinderpal berkata bahawa fakulti itu bekerjasama dengan Persatuan Persahabatan Malaysia - Vietnam dalam program pertukaran pelajar, dengan hasrat untuk membina program khusus mengenai kerjasama kedua-dua negara.

Ia juga merancang untuk membangunkan kurikulum yang menyediakan kursus Bahasa Vietnam yang komprehensif daripada peringkat asas hingga lanjutan serta menganjurkan aktiviti untuk mempromosikan budaya Vietnam seperti kelas memasak, kelas muzik tradisional Vietnam dan tayangan filem Vietnam.

Selain Bahasa Vietnam, fakulti itu juga menawarkan sembilan subjek bahasa lain - Arab, Cina, Inggeris, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Sepanyol, dan Tamil.

-- BERNAMA-VNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan