AM

ANAK MUDA SUNTIK ELEMEN KONTEMPORARI DALAM IRAMA GAMELAN

13/06/2024 02:12 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Mendengar muzik gamelan yang dimainkan, pasti tidak ramai menyangka bahawa irama instrumen tradisional itu dipersembahkan oleh golongan muda berusia 28 hingga 35 tahun. 

Segak berbusana tradisional serba hitam pada setiap persembahan, Ahmad Syamiem Mohd Sukarno, 28, berkata dia dan tujuh lagi rakannya yang membawa nama Gangsapura, berbangga dapat meneruskan warisan serta memperjuangkan instrumen gamelan agar kekal relevan.

Gangsapura yang sering membuat persembahan di festival atau konsert, turut dianggotai oleh Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar 35; Nur Diyana Nadirah Shaharuddin, 31; Ahmad Syahmie Ahmad Kamal, 33; Muhammad Asri Muhd Sharizan Saseedarhan, 33; Amira Farhana Ahmad Hamidi, 35; Muhammad Anas Syafuan Norlatiff, 31; serta Mohammad Faliq Che Adeni, 34.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam muzik gamelan kepada Bernama, Ahmad Syamiem yang berpengalaman lebih 16 tahun, berkata segalanya bermula selepas dia menyertai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pahang  pada usia 12 tahun bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Dari situ minatnya bercambah, dan dia meneruskan kegiatan itu sebagai kerjaya sepenuh masa yang dikuatkan lagi selepas bergabung dengan beberapa rakan semasa melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan (ASWARA) pada 2017.  

“Sebelum kumpulan ini ditubuhkan, ada dua anggota selalu datang berlatih main gamelan di ASWARA. Saya sertai mereka dan dari situ timbul keserasian,” katanya.

Menurutnya, gamelan merupakan instrumen muzik yang pada suatu ketika dahulu sinonim dengan istana, dan dia berasa terpanggil untuk meneruskan warisan budaya itu. 

"… kalau bukan kita (golongan muda), siapa lagi yang akan teruskan,” kata anak pertama daripada tiga beradik tersebut.

Menurutnya, bagi memastikan rencah muzik gamelan malar segar, mereka turut menyertakan instrumen tambahan mengikut keperluan lagu kontemporari yang mereka persembahkan.

“Atas sebab itulah mereka yang pertama kali mendengar persembahan Gangsapura akan terpukau… muzik (gamelan) yang kami persembahkan jauh berbeza dengan apa yang pernah mereka dengar sebelum ini,” katanya yang mahu menarik seramai mungkin pendengar muda.

Berhasrat mengadakan persembahan di luar negara pada suatu hari nanti, anak muda itu berkata buat masa ini Gangsapura tumpukan konsert mereka di dalam negara.

“Kami belum dapat ke luar negara kerana kekangan peruntukan. Kami cuba mohon geran (daripada pihak berwajib) namun bukan mudah, kerana ramai yang mohon,” katanya yang turut menganggap muzik gamelan sebagai terapi buat dirinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan