EKONOMI

EKONOMI MALAYSIA DIJANGKA BERKEMBANG 4-5 PERATUS PADA 2024 - AMIR HAMZAH

12/06/2024 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara empat dan lima peratus pada 2024, disokong oleh eksport yang pulih dan permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata perdagangan yang pulih akan disokong oleh kitaran meningkat teknologi global dan pemulihan seterusnya dalam aktiviti pelancongan.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pendapatan dan pekerjaan yang bertambah baik. Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan seterusnya dalam projek pelaburan untuk tempoh beberapa tahun oleh sektor awam dan swasta,” katanya dalam ucaptama pada Sasana Symposium 2024 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini. 

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12, akan meningkatkan lagi pelaburan.

Oleh itu, Amir Hamzah berkata kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang bermakna kerana ini adalah perlu untuk membina Malaysia yang lebih makmur dan inklusif.

Dalam perkara ini, katanya pembaharuan strategik yang melibatkan pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk menyokong usaha ini.

“Pertama, meningkatkan asas dengan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal dan menjadikan bahagian ekonomi lebih besar untuk lebih banyak penyertaan.

“Kedua, menaikkan siling dengan meningkatkan perlindungan sosial dan ketiga, mewujudkan tadbir urus yang baik,” katanya.

Beliau berkata Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF) adalah langkah penting untuk meluaskan dan mempelbagaikan asas hasil.

Selain itu, katanya Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada penyusunan semula rantaian nilai global.

“Untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini, kami memberi keutamaan kepada dasar untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang meningkatkan daya saing ekonomi kita dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi,” katanya.

Oleh itu, katanya dengan memacu pembaharuan struktur ini, Malaysia akan meningkatkan daya saing globalnya berbanding negara-negara lain yang turut berusaha untuk meningkatkan potensi pertumbuhan mereka, menangani defisit fiskal dan meningkatkan kecekapan sumber. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan