POLITIK

ENAM AHLI PARLIMEN, DUA ADUN BERSATU DIBERI NOTIS DALAM MASA TERDEKAT

12/06/2024 01:23 AM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Bersatu akan menghantar notis kepada enam Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam masa terdekat berhubung status keahlian serta kedudukan kerusi yang disandang mereka ketika ini. 

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selepas itu, pihaknya akan menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Kelantan berhubung kedudukan mereka. 

“Ada proses, perlu berhati-hati, perlu lengkap dengan laporan sebab kita tak nak gopoh, sebab itu ambil masa nak susun betul-betul, kita tak nak atas alasan teknikal, tindakan ini dikatakan tak berperaturan.

“Kita yakin (dengan) langkah (yang) diambil kerana banyak pihak kata betul, ikut Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti dan selaras itu, ROS (Pendaftar Pertubuhan) setuju dan kita beritahu Ahli Parlimen, ADUN Bersatu mereka kena patuh dan tandatangan tetapi ada yang tidak setuju… dan untuk menentukan adanya pilihan raya (kecil) kena bawa kepada Speaker,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di ibu pejabat gabungan politik itu di sini malam ini.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari.

Muhyiddin, yang juga Pengerusi PN, turut mengesahkan PAS akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang dan dijangka mengumumkan calonnya pada15 Jun ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menewaskan calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan