AM

LAWATAN RASMI JOHARI PERKUKUH HUBUNGAN DIPLOMATIK, KERJASAMA PARLIMEN MALAYSIA-JEPUN

08/06/2024 12:17 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Lawatan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun selama lima hari yang berakhir semalam, dilihat berjaya memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia-Jepun, terutama melibatkan kerjasama antara Parlimen.

Johari yang mengadakan lawatan ke Negara Matahari Terbit atas jemputan rakan sejawatannya Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga, berhasil menjalin kerjasama bagi pertukaran ilmu untuk mewujudkan Parlimen bertaraf dunia yang meningkatkan kapasiti Ahli Parlimen dan petugasnya.

“Saya berpeluang melawat perpustakaan Parlimen Jepun iaitu National Diet Library yang mempunyai enam juta naskhah penerbitan yang cukup hebat dengan separuh daripadanya sudah didigitalkan serta reka bentuk perpustakaan mereka sungguh hebat untuk memberikan keselesaan bukan sahaja kepada Ahli Parlimen, tetapi juga masyarakat yang memerlukan. 

“Saya ingat (idea perpustakaan) ini kita boleh bawa balik segera dan terus kita rencanakan untuk membangunkan perpustakaan Parlimen yang lebih berfungsi, indah dan perancangan ini sudah ada dalam kepala,” katanya kepada Bernama bagi merumuskan lawatan rasmi itu.

Turut menyertai delegasi berkenaan ialah Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan) serta Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

Kunjungan Johari juga telah berhasil meneroka serta memperluas kerjasama dalam bidang pertanian bagi manfaat bersama susulan lawatan Johari ke National Agriculture and Food Research Organization (NARO) dan Japan International Research Center for Agricultural Sciences (JIRCAS) di Tokyo.

Johari berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan pertanian perlu didekatkan lagi dengan dua entiti pertanian itu bagi menghasilkan pertanian yang konsisten serta menggunakan tanaman lain sebagai pilihan kepada beras.

“Dalam pertemuan dengan penyelidik, saya mengutarakan tentang ubi kayu sebagai alternatif kepada beras dan sudah tentu mereka percaya ia boleh dijadikan pilihan tambahan sementara usaha menggiatkan produktiviti beras,” katanya.

Pertemuan Johari bersama Menteri Transformasi Digital Jepun Kono Taro juga membuahkan hasil apabila menteri berkenaan menyatakan minat untuk bertukar kepakaran dan pengetahuan dalam membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut Johari kerjasama itu penting bagi memastikan penggunaan yang beretika dan selamat demi manfaat kedua-dua warga Jepun dan Malaysia.

Ketika meneruskan lawatan di Kyoto pula, Johari menyatakan kesungguhan Malaysia untuk mengembangkan kerjasama dengan Jepun kepada Naib Gabenor Wilayah Kyoto dan Timbalan Datuk Bandar Kyoto Hironori Furukawa pada sebuah majlis makan malam yang diadakan di Kyoto State Guest House.

Ketika di wilayah itu, Johari turut diberi penghormatan untuk menginap di Kyoto State Guest House yang merupakan sebuah penginapan rasmi untuk tetamu negara bagi Jepun. 

Mengakhiri lawatan rasmi ke Jepun, Johari meneroka penggunaan teknologi terapi ion berat dalam merawat pesakit kanser dengan lebih efektif dan mengurangkan kesan sampingan di Osaka Heavy Ion Therapy Center (HIMAK), yang merupakan pusat terapi ion berat pertama di wilayah itu. 

Johari berkata rawatan sedemikian perlu turut diteroka Malaysia memandangkan penyakit kanser merupakan punca kematian keempat tertinggi di Malaysia. 

Johari dan delegasi Parlimen Malaysia selamat tiba di tanah air pagi ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan