PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Institusi zakat perlu menyediakan laporan tahunan dan audit yang terperinci serta membentangkan kepada umum untuk memastikan setiap sen zakat dibelanjakan dengan betul.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata institusi-institusi zakat memainkan peranan penting dalam memastikan kutipan dan agihan zakat dilakukan secara adil dan efektif.
“Kepercayaan ialah asas kepada keberkesanan sistem zakat dan tanpa kepercayaan, institusi zakat tidak akan dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Oleh itu, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan zakat adalah amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Muzakarah Zakat Kebangsaan Kali Ke-10 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata enam rukun MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan juga perlu menjadi tonggak utama dalam memperkukuh peranan zakat.
Menurut Zulkifli tonggak daya cipta misalnya merupakan elemen penting dalam memperkukuh peranan zakat dalam era globalisasi dan teknologi yang pesat ini.
“Institusi zakat harus sentiasa mencari pendekatan baharu dan inovatif dalam pengagihan zakat,” katanya.
Zulkifli berkata penggunaan teknologi seperti platform digital untuk pengumpulan dan agihan zakat dapat meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses zakat.
“Sebagai contoh, aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh beberapa institusi zakat membolehkan umat Islam menunaikan zakat dengan lebih mudah dan pantas.
“Selain itu, penggunaan data raya dan analitik data dapat digunakan untuk mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan bantuan serta menilai keberkesanan program yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata institusi zakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan bantuan yang disalurkan membawa perubahan yang signifikan dan berterusan kepada golongan yang memerlukan.
“Dengan usaha dan komitmen yang berterusan, insya-Allah kita akan dapat melihat umat Islam di Malaysia menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial