AM

KERAJAAN SEDIA BINCANG PERMASALAHAN PEMILIK HARTANAH KAMPUNG SUNGAI BARU

06/06/2024 02:34 PM

PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersedia berbincang mengenai permasalahan dihadapi lebih 100 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur berkenaan penilaian hartanah mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau bagaimanapun berkata ia tertakluk kepada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi dan semua pihak harus faham bahawa penilaian dibuat berdasarkan nilai tanah di kawasan itu sebelum sebarang pampasan diberikan.

"Kita melihat nilai tanah berkenaan sebelum pampasan diberikan, itu memang caranya. Penduduk yang rasa ini tidak mencukupi, mereka boleh terus untuk melihat semakan mahkamah bagi melihat dan menilai kembali perkara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dokumen projek laluan susur di Presint 15, di sini hari ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad semalam dilaporkan berkata kerajaan perlu melaksanakan penilaian semula harga tanah dengan lebih adil berbanding RM450 hingga RM500 bagi setiap kaki persegi yang ditawarkan kepada lebih 100 pemilik kediaman flat dan teres terbabit.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata mesyuarat pasukan petugas untuk menyelenggara pokok-pokok teduhan di sekitar ibu negara akan melibatkan pihak berkepentingan antaranya arboris (pakar tumbuhan berkayu), pakar dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

“Ia untuk membincangkan secara tuntas, mungkin ada faktor lain yang kita kena ambil kira iaitu dalam mencantikkan bandar raya, tetapi kena ada faktor keselamatan khusus perlu diambil kira termasuk spesies pokok dan kawasan tanah bagi pokok,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan