AM

Karnival KPDN Zon Sabah Sasar Kehadiran 60,000 Pengunjung, Raih Jualan RM250,000

25/07/2025 09:48 PM

RANAU, 25 Julai (Bernama) -- Sebanyak 60,000 pengunjung disasarkan menghadiri Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 Zon Sabah yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN Adiratno Che Ani berkata kementerian itu turut menyasarkan RM250,000 nilai jualan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan.

“Sebanyak 60 usahawan dari Sabah dan Semenanjung hadir untuk memasarkan produk masing-masing. Pelbagai produk dibawa termasuk kraf tangan, makanan dan produk kecantikan. Kesemua produk ini berkualiti dan setanding dengan barangan luar negara.

“Berdasarkan sambutan sejak pagi tadi, saya yakin sasaran jualan RM250,000 dapat dicapai sehingga program ini berakhir pada Ahad,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pekarangan Kompleks Sukan Ranau di sini hari ini.

Beliau berkata KBBM yang bertemakan ‘Jom Beli Lokal’ juga bertujuan membantu usahawan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan memperluas jaringan pasaran, sekali gus memperkukuhkan ekonomi domestik.

“Para usahawan dapat memperkenalkan produk mereka selain mewujudkan rangkaian perniagaan baharu bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara. Saya berharap orang ramai yang hadir dapat menyokong dan membeli barangan tempatan kerana ia dijual dengan harga sangat berpatutan,” katanya.

Mengulas mengenai karnival bertemakan ‘Ikhtiar Kita Untuk Semua’, Adiratno berkata ia menjadi platform mengumpulkan masyarakat untuk berinteraksi dengan pihak agensi kementerian bagi mendapatkan maklumat mengenai dasar kerajaan.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pertandingan Mobile Legends E-Sports Sara Hidup, Ekspedisi Kos Sara Hidup berkonsepkan pencarian fakta serta The Band Showdown yang menampilkan muzik sebagai medium mesej kos sara hidup.

“Di ruangan reruai, pelbagai perkhidmatan dan advokasi ditawarkan termasuk khidmat nasihat pengguna, pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia, promosi Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH, aplikasi Price Catcher serta inisiatif lain di bawah KPDN dan agensi berkaitan.

“Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) turut dilaksanakan dengan menawarkan pelbagai barangan keperluan harian lebih murah 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Adiratno mengajak orang ramai khususnya yang berada di kawasan sekitar Ranau dan daerah berdekatan agar tidak melepaskan peluang berkunjung ke karnival berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan