EKONOMI

Inovasi Kelulut Unison Angkat Malaysia Ke Pentas Utama Ekspo Osaka 2025

04/06/2025 10:42 AM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Unison Technology & Manufacturing (M) PLT memperkenalkan sistem sarang modular dan inisiatif latihan untuk memperkukuh industri penternakan lebah kelulut serta meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar di Malaysia, selaras dengan penyertaan negara dalam Ekspo 2025 Osaka.

Dalam satu kenyataan, syarikat berpusat di Johor itu berkata mereka telah membangunkan struktur sarang lebah yang dipatenkan menggunakan bahan komposit konkrit yang direka khas untuk meningkatkan ketahanan sarang dan mengurangkan keperluan penyelenggaraan jangka panjang.

Pensyarah kanan di Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merangkap ketua inovator Unison Dr Mohd Khairuddin Ramliy berkata penurunan populasi lebah secara global mengancam biodiversiti dan keterjaminan makanan, memandangkan lebah memainkan peranan penting dalam pendebungaan sekitar 75 peratus tanaman makanan dunia.

“Justeru itu, Unison mengolah semula pendekatan penternakan lebah kelulut dengan membangunkan kotak modular dan sarang konkrit berinovasi untuk meningkatkan hasil madu dan memudahkan pengurusan sarang lebah.

“Dengan memodenkan amalan apikultur tradisional, Unison menghubungkan pemulihan ekologi dengan peluang ekonomi, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi berasaskan kelestarian menjelang Ekspo 2025 Osaka,” katanya.

 

Reka Bentuk Tahan Lasak untuk Pendebunga Tempatan

 

Menurut Mohd Khairuddin teknologi sarang lebah yang dibangunkan Unison menyediakan habitat tahan lasak dan selamat untuk lebah kelulut, iaitu spesies pendebunga asli yang penting kepada ekosistem Malaysia.

“Penggunaan bahan komposit konkrit mengurangkan keperluan penggantian kerap, sekali gus mengurangkan sisa alam sekitar dan memanjangkan jangka hayat sarang lebah,” katanya.

Beliau berkata inovasi ini turut menyokong kadar pendebungaan yang lebih tinggi untuk tanaman, tumbuhan tempatan dan buah-buahan, seterusnya meningkatkan hasil pertanian.

“Selaras dengan seruan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) untuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi, teknologi ini menyumbang secara langsung kepada adaptasi iklim, perlindungan biodiversiti dan ketahanan ekosistem.

“Reka bentuk sarang yang disesuaikan untuk iklim tropika Malaysia menunjukkan bagaimana kejuruteraan dan ekologi boleh bekerjasama dalam menyokong produktiviti dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

 

Model Inklusif untuk Komuniti Luar Bandar

 

Model penternakan lebah Unison tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek ekologi, malah menyokong sumber pendapatan komuniti luar bandar melalui latihan, peralatan, dan akses kepada alatan yang mampu milik.

“Ia bersifat inklusif dengan memberi peluang kepada golongan wanita, belia dan kumpulan terpinggir untuk menjana pendapatan mampan menerusi pengumpulan madu serta penghasilan produk tambah nilai seperti propolis, debunga lebah dan barangan yang diperbuat daripada lilin lebah.

“Pendekatan ini menyokong daya tahan kewangan dan pemerkasaan jangka panjang, di samping menghidupkan semula pengetahuan ekologi tradisional serta menggalakkan amalan pertanian yang tahan iklim, mampan dan berdaya saing,” katanya.

 

Sistem Boleh Skala dengan Sokongan Teknikal 

Beliau turut memaklumkan bahawa sistem sarang modular Unison direka bentuk untuk kemudahan penggunaan, konsistensi, dan kemampuan skala, dengan struktur piawai yang memastikan keadaan sarang optimum bagi kesihatan lebah dan peningkatan hasil.

“Projek ini turut disokong melalui latihan, bantuan teknikal serta kerjasama dengan institusi pertanian, yang membolehkan produk kami ditambah baik berdasarkan maklum balas pengguna sebenar dan disesuaikan dengan pelbagai persekitaran dan keperluan penternakan.

“Dengan menawarkan sistem yang boleh dipercayai dan mudah disesuaikan, Unison menyokong pertumbuhan sektor apikultur yang tersusun dan berkualiti tinggi di Malaysia, selari dengan matlamat negara dalam aspek keselamatan makanan, pemulihan biodiversiti dan pertanian regeneratif,” kata beliau.

 

Selari dengan Aspirasi Kelestarian Malaysia di Ekspo 2025 Osaka

 

Mohd Khairuddin berkata usaha syarikat ini seiring dengan penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka, yang menumpukan kepada pembangunan masyarakat masa depan yang mengimbangi kemajuan dengan kemampanan. 

“Pendekatan Unison menunjukkan bahawa perlindungan pendebunga bukan sahaja tanggungjawab ekologi, tetapi juga satu peluang strategik untuk merangsang kemakmuran, memperkasakan komuniti, dan mewujudkan keharmonian antara manusia dan alam.

“Ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengetengahkan visi kemampanan di pentas antarabangsa, Unison menjadi contoh kebanggaan bagaimana inovasi tempatan mampu membawa impak ke global,” katanya.

Ekspo 2025 Osaka yang dianjurkan oleh Bureau International des Expositions (BIE) berlangsung di Osaka, Jepun, dari 13 April hingga 13 Oktober 2025, buat kali kedua selepas menjadi tuan rumah pada edisi pertama pada 1970.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan