EKONOMI

PNB Umum Agihan Pendapatan, Bonus Sebanyak RM14.5 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2024

21/05/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatatkan rekod agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM14.5 bilion kepada pemegang unitnya untuk 18 dana Harga Tetap (FP) serta Harga Berubah (VP) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

Pada tahun sebelumnya, syarikat pengurusan aset itu mencatatkan agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM13.3 bilion.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, pencapaian ini dipacu oleh persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan dengan jumlah pendapatan bersih kumpulan meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada RM13.04 bilion pada 2023 kepada RM16.97 bilion.

Menurut syarikat itu, jumlah keseluruhan agihan pendapatan yang dibayar pada tahun kewangan 2024 berjumlah RM263.7 bilion daripada RM249.2 bilion pada tahun kewangan 2023.

PNB berkata pihaknya terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh semua rakyat Malaysia dengan bilangan pemegang akaun unik dan jumlah akaun masing-masing melonjak ke paras tertinggi iaitu 13.1 juta dan 16.2 juta.

Sehubungan itu, katanya, jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) juga kembali pulih dengan mencecah RM348.3 bilion, berkembang daripada RM337.0 bilion seperti yang dicatatkan pada 2023.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulannya Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengagihkan dividen tertinggi selain Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengagihkan jumlah pendapatan sebanyak 5.75 sen iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

“Kesemua 18 dana FP dan VP kami mengatasi penanda aras masing-masing dengan 11 daripada 12 dana VP kami tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam kumpulan setara mereka," katanya.

Menuju 2025, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Rahman Ahmad pula berkata memandangkan perkembangan geopolitik terkini dan perubahan asas dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat, kumpulan berusaha untuk bersikap realistik terhadap keadaan makroekonomi dan pasaran modal yang semakin tidak menentu selain berisiko tinggi pada tahun hadapan.

“Tumpuan kami kekal iaitu memastikan prestasi dana-dana kami mampan melalui strategi kepelbagaian aset yang berterusan seiring dengan komitmen untuk memberikan pulangan yang konsisten serta berdaya saing kepada pemegang unit kami," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan