PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Tempoh moratorium pelaksanaan waktu bekerja selama 45 jam membabitkan golongan jururawat dilanjutkan sebulan lagi, sebelum rumusan dan cadangan hasil libat urus dibentang kepada Kabinet pada 1 Julai, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata pelanjutan itu bagi membolehkan pihaknya meneliti dan memahami pelbagai aspek melibatkan petugas anggota kesihatan terutamanya dalam isu kebajikan.
“Kini (proses) di peringkat akhir, dan (libat urus) sudah banyak kali diadakan, tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak akan buat keputusan tanpa betul-betul menyelami program kejururawatan secara terperinci.
“(Lanjutan) ini bagi saya untuk buat rumusan, tapi yang penting adalah pertimbangan kepada semua faktor, supaya apa juga keputusan nanti betul-betul adil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan tempoh interim selama tiga bulan mulai 1 Dis 2024 hingga 28 Feb lepas bagi membuat persediaan ke arah pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam di Kementerian Kesihatan (KKM).
Pada 21 Nov lepas, Dzulkefly berkata perubahan waktu bekerja syif bagi jururawat adalah bersesuaian, tertakluk di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula pada 1 Dis 2024.
Beliau berkata tempoh bekerja selama 45 jam seminggu ditetapkan melalui sistem itu secara dasarnya berkurang sebanyak satu jam berbanding 46 jam seminggu di bawah Perintah Am Bab G.
Sementara itu ditanya mengenai isu elaun jururawat yang sebelum ini dibangkitkan oleh Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Dzulkefly berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat KKM.
“Saya (telah) arah perkara ini diteliti dan perlu sedikit waktu kerana ia masih di peringkat peribincangan,” katanya.
Pada 9 Mac lepas, MNU telah menyarankan kerajaan untuk menyemak semula semua elaun jururawat, termasuk elaun wilayah RM1,000 sebulan bagi yang berkhidmat di luar negeri asal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial