BANGI, 13 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah meletakkan asas penting bahawa pembangunan negara bukan sekadar tentang bangunan pencakar langit dan jalan raya yang lebar tetapi tentang pembinaan jiwa dan minda rakyat Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi Datuk Jefridin Atan berkata justeru, sumbangan Allahyarham dalam pembangunan modal insan merupakan satu legasi yang perlu dihargai dan dibangunkan.
“Tun Abdullah sering menegaskan bahawa negara memerlukan rakyat yang bukan sahaja celik huruf tetapi juga celik minda, teknologi dan hati. Ia bukan sekadar tentang memiliki sijil atau kelayakan akademik tetapi bagaimana ilmu tersebut dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
“Kini kita dapat melihat impak positif daripada penekanan Tun Abdullah terhadap pembangunan modal insan, iaitu budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat kini tersebar luas dan penekanan terhadap integriti telah meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tadbir urus yang baik dalam sektor awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama di Seminar Tun Abdullah Ahmad Badawi: Menelusuri Denai Kepimpinan Berjiwa Terbilang anjuran Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Jefridin berkata bagi memahami kepentingan penekanan Tun Abdullah terhadap pembangunan modal insan antara perkara penting yang perlu dilihat ialah keadaan negara pada awal tahun 2000-an, iaitu ketika beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan pada Oktober 2003.
Tambah beliau Malaysia ketika itu sedang dalam pemulihan daripada krisis kewangan Asia 1997-1998, selain berdepan dengan persaingan ekonomi global yang sengit terutamanya dari China dan India.
“Ekonomi dunia pula sedang beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam keadaan ini, Tun Abdullah menyedari bahawa kelebihan daya saing Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada kos buruh yang rendah atau sumber asli semata-mata.
“Sebaliknya, (beliau menekankan) kita perlu beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi iaitu ia hanya boleh dicapai melalui pembangunan modal insan yang berkualiti,” katanya yang juga bekas pegawai khas Allahyarham.
Antara inisiatif Tun Abdullah untuk merealisasikan visi pembangunan modal insan ialah pendekatan Islam Hadhari dan pembaharuan dalam pendidikan, koridor ekonomi serta sektor awam.
Allahyarham Tun Abdullah, yang mesra dengan panggilan Pak Lah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 14 April lepas dan dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata sebagai institusi ilmu yang mendukung peranan sebagai universiti untuk negara, UKM mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar Tun Abdullah kepada universiti itu.
“Antaranya ialah penubuhan Institut Islam Hadhari, hasil cetusan wawasan Allahyarham untuk memartabatkan pendekatan Islam yang progresif, berteraskan maqasid syariah dan sejajar dengan keperluan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Tun Abdullah juga menunjukkan komitmen terhadap pendidikan tinggi negara, terutamanya dalam aspek pemerkasaan ilmu, pembentukan nilai integriti dalam akademik dan pemupukan budaya dialog antara agama dan tamadun,” katanya.
Seminar sehari itu menjadi wadah perbincangan akademik terhadap kepimpinan Tun Abdullah yang berteraskan integriti dan nilai Islam melalui gagasan Islam Hadhari, serta bertujuan memupuk kesedaran sejarah dan kefahaman masyarakat terhadap pembangunan modal insan yang diterapkan Allahyarham.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial