KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda bagi tanaman Nanas MD2, melakar pencapaian membanggakan apabila hasil ladangnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus memberikan manfaat langsung kepada 3,730 peneroka di sembilan tanah rancangan Felda.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kejayaan itu membuktikan peranan Felda bukan sahaja sebagai agensi perladangan sawit terbesar negara, malah turut muncul sebagai peneraju dalam sektor pertanian lain.
“Felda telah membuktikan kesungguhan memajukan komuniti luar bandar melalui pelbagai program berimpak tinggi seperti ini, yang tidak hanya tertumpu pada tanaman utama, malah turut memperkenalkan projek alternatif yang memberikan manfaat langsung kepada peneroka dan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis Flag Off Eksport hasil ladang PPP Felda di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Kanan MATRADE Datuk Hazimah Zainuddin.
Turut hadir, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Besar Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman serta Pengarah Eksekutif Aqina Fruits Wesley Tan Seah Ging.
Program PPP Felda dijalankan dengan kerjasama Agrobank sejak 2021 melibatkan pembangunan tanaman Nanas MD2 seluas 222 hektar merangkumi kawasan Felda Besout 1, 2 dan 3, Keratong 09, Mempaga 02, Kampung Sertik, Lakum, Bukit Damar dan Lembah Klau, dengan penanaman sebanyak 10 juta pokok.
Hasil tanaman itu dipasarkan di pasar raya utama seperti Village Grocer, GIANT, Jaya Grocer, AEON Jusco dan ST Rosyam, selain berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Timur Tengah, Jepun dan China.
Dalam tempoh tiga tahun, nilai dagangan hasil jualan buah dan sulur Nanas MD2 mencecah RM4.9 juta, dengan unjuran jualan sebanyak RM18.5 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Tan berkata Aqina Fruits selaku operator projek PPP Felda amat berbesar hati dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membangunkan projek tanaman nanas MD2 melibatkan sembilan koperasi Felda di lima ladang PPP.
“Bermula pada 2021, program ini membawa nafas baharu kepada landskap pertanian Felda, yang sebelum ini tertumpu kepada getah dan sawit, kini beralih kepada tanaman nanas MD2. Seluas 500 hektar tanah di lima ladang sedang diusahakan dengan lebih 10 juta pokok nanas ditanam,” katanya.
Tan berkata pelaksanaan PPP sentiasa mengambil kira kepentingan komuniti Felda agar tidak tercicir dalam arus pemodenan dan transformasi ekonomi masa kini.
“Platform ini bukan sahaja berperanan memperkasakan peneroka dari sudut sosioekonomi, tetapi turut merangkumi aspek pendidikan, kemahiran teknikal dan keusahawanan.
“Setakat Julai 2025, sebanyak 40 individu dalam kalangan anak dan cucu peneroka telah dilantik sebagai petugas Aqina Fruit serta ladang-ladang PPP yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata hingga kini, pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan, termasuk latihan kemahiran serta teknologi pertanian moden yang memperkenalkan peneroka kepada amalan pertanian pintar berasaskan teknologi Internet benda (IoT) dan automasi.
Antaranya ialah pengenalan konsep night farming atau pertanian waktu malam, serta pengenalan penggunaan jentera dan mesin berteknologi tinggi seperti boom sprayer dan dron.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial