KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan nilai transaksi mencecah RM4 juta sepanjang lima hari penganjuran Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata sasaran itu adalah melalui aktiviti PADANIAGA sebanyak RM3 juta, manakala RM1 juta lagi melalui aktiviti Biaya Usahawan.
Program yang berlangsung sejak 30 Julai lepas itu dilaksanakan secara serentak dengan sambutan Hari Peneroka Felda dan Karnival Usahawan Desa (KUD) menerusi acara Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D), dijangka menarik dua juta pengunjung sekali gus memberikan kesan berganda kepada hasil jualan usahawan SDSI.
“Ini julung kali KUSKOP bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Felda menganjurkan tiga program berskala nasional secara serentak.
“Pendekatan ini diharap dapat mewujudkan sinergi yang lebih besar, khususnya dari segi impak kepada usahawan SDSI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ewon berkata showcase SDSI ialah inisiatif KUSKOP bagi membina ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif kepada perusahaan SDSI dan usahawan tempatan.
Program itu juga sebagai platform pengkomersialan menerusi pameran dan jualan produk beridentitikan daerah merangkumi kluster makanan dan minuman, produk serta perkhidmatan kesihatan, kraf tangan dan inap desa.
Selain itu, Ewon berkata penganjuran MK3D juga bertujuan merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap program yang dijalankan dapat dihayati dan difahami rakyat secara menyeluruh.
Pada masa sama, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Karnival Mega 3 Dimensi yang berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam di MITEC bagi memanfaatkan pelbagai peluang dan inisiatif yang ditawarkan.
Sebanyak 154 usahawan dari seluruh negara mengambil bahagian dalam Showcase SDSI yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kualiti dan potensi produk keluaran SDSI.
Sejumlah 14 Pavilion Negeri yang menempatkan 10 usahawan dari setiap negeri telah dibangunkan di Dewan 5, Aras 2 MITEC, manakala 14 usahawan tambahan ditempatkan di bawah reruai KKDW.
Antara acara utama yang dianjurkan termasuk CITARASA DESA; Forum SDS; Sesi Padanan Perniagaan dan Program Biaya Usahawan selain pelbagai aktiviti sokongan yang turut dianjurkan seperti ceramah keusahawanan, sesi pocket talk (bicara saku) dan demonstrasi produk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial