AM

RMK13: Era Baharu Bagi Usahawan Wanita India - Ketua Wanita MAICCI

01/08/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merupakan satu peralihan penting, terutamanya dari aspek pemerkasaan wanita India dalam keusahawanan dan ekonomi, kata Ketua Wanita Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) Hemala Sivam.

Menyifatkan rancangan itu sebagai ‘berani dan inklusif’, Hemala berkata RMK13 meletakkan wanita dan usahawan India sebagai antara nadi kemajuan negara dengan penekanan yang jelas kepada pembangunan kemahiran, peningkatan kapasiti dan sokongan di peringkat akar umbi.

“RMK13 bukan sekadar satu lagi dokumen dasar. Ia adalah mesej tegas daripada Kerajaan MADANI bahawa tiada wanita dan komuniti yang akan dipinggirkan,” katanya dalam kenyataan hari ini sebagai mengulas RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau turut memuji fokus RMK13 untuk memperluaskan akses pendidikan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta sokongan keusahawanan kepada wanita India dalam golongan B40 yang sedia aktif dalam perniagaan mikro dan dari rumah.

“Wanita merupakan tulang belakang komuniti kita. Apa yang mereka perlukan bukan bantuan bersifat sementara tetapi sokongan berstruktur dan RMK13 memenuhi perkara itu,” katanya.

 

Hemala juga menyambut pengukuhan terhadap program utama seperti Skim Pembangunan Ushawanan Masyarakat India (SPUMI) dan Program Pembangunan Sosioekonomi bagi Masyarakat India (PPSMI), yang disifatkan sebagai pemangkin penting bagi pergerakan ekonomi yang mampan.

 

“Komitmen kerajaan untuk membiayai dan membimbing perniagaan yang diketuai wanita di peringkat akar umbi adalah cara untuk kita mencipta impak berkekalan. Ini soal membina legasi, buka sekadar sumber pendapatan,” katanya. 

Menyeru kepada pelaksanaan yang inklusif dan telus, Hemala menggesa agensi seperti Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan pertubuhan masyarakat lain bekerjasama bagi memastikan manfaat RMK13 sampai kepada golongan yang memerlukan. 

“Wanita India sudah bersedia. Mereka hanya perlukan akses, kemahiran dan peluang. RMK13 telah menyediakan asas dan kini terpulang kepada pihak berkepentingan untuk melaksanakannya,” kata Hemala. 

Beliau yang sekian lama memperjuangkan pemerkasaan ekonomi wanita, berkata RMK13 mampu mentakrifkan semula peranan wanita India dalam bidang perniagaan, pendidikan dan pembangunan komuniti.

“Sebagai Ketua Wanita MAICCI, saya berdiri teguh menyokong visi Perdana Menteri. Inilah detik kita untuk membentuk masa depan yang inklusif dan berdaya tahan dengan wanita India di barisan hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan