AM

Festival Flora Borneo Lepasi Jangkaan, Tarik Kehadiran Lebih 100,000 Pengunjung

30/07/2025 06:57 PM

LABUAN, 30 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) 2025 melebihi sasaran pengunjung apabila menarik kehadiran 104,543 orang, berbanding 50,000 ditetapkan. 

Festival lima hari itu bukan sahaja dihadiri penduduk tempatan, tetapi juga peminat tanaman dan pelancong dari seluruh Malaysia, Brunei, Kalimantan (Indonesia) serta Timor-Leste.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sambutan luar biasa itu mencerminkan Labuan sebagai hab ekopelancongan dan budaya di rantau ini.

“Sambutan diterima luar daripada jangkaan, sekali gus menunjukkan festival ini telah berkembang menjadi acara serantau yang mendapat perhatian antarabangsa,” katanya pada majlis penutup festival itu di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan kejayaan itu, kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menganjurkan festival sama dengan skala penyertaan lebih besar pada tahun hadapan.

BFF 2025 bertemakan “Flora Tropika Borneo” di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan itu menampilkan spesies orkid yang jarang dijumpai, periuk kera terbesar di dunia serta tumbuhan eksotik yang berasal dari hutan hujan Borneo.

Lebih 100 pempamer termasuk pengusaha tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, komuniti setempat dan pengusaha hotel menyertai festival itu.

Festival turut diserikan dengan pelbagai aktiviti bertemakan flora, bengkel dan pertandingan yang melibatkan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.

Dr Zaliha berkata kehadiran pengunjung ke festival itu telah merancakkan perniagaan tempatan termasuk hotel, restoran, inap desa dan penyedia perkhidmatan pengangkutan.

“Festival ini memanfaatkan perniagaan tempatan lain seperti kedai cenderamata, penjual bunga, premis runcit dan peniaga kecil sepanjang lima hari acara berlangsung,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan