AM

RUU Duti Timbal Balas Dan Anti-Lambakan (Pindaan) Dibentang Kali Pertama Di Dewan Rakyat

30/07/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025 yang bertujuan melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil dan memastikan daya saing produk Malaysia dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Pada pembentangan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bacaan kali kedua akan turut dibuat pada sesi mesyuarat kali ini.

Dalam pada itu, menurut naskhah biru yang diedarkan di Dewan Rakyat, RUU berkenaan merangkumi 21 fasal bertujuan untuk meminda Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504).

Pindaan Akta 504 kali ini adalah untuk menambah baik rangka kerja perundangan dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam mencegah amalan perdagangan yang tidak adil dalam konteks perdagangan antarabangsa di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Antaranya ialah Fasal 3 yang meminda subseksyen 9(1) berhubung tempoh penyiasatan agar selaras dengan Artikel 17.1 Perjanjian Subsidi dan Langkah Timbal Balas memandangkan Malaysia merupakan salah satu negara anggota di bawah WTO.

Sementara itu, Fasal 4 bertujuan menggantikan subseksyen 12(1) yang memperuntukkan bahawa kerajaan boleh menggantung apa-apa penyiasatan jika menerima aku janji daripada anggota pengeksport yang bersetuju untuk menghapuskan atau mengehadkan subsidi atau bersetuju mengubah harga.

Selain itu, Fasal 5 bertujuan untuk meminda Seksyen 12A mengenai suatu duti timbal balas yang dikenakan di bawah Akta 504 hendaklah dikenakan tidak lebih dari lima tahun sama ada dari tarikh pengenaannya atau dari tarikh penamatan kajian semula tamat tempoh yang terkini.

Fasal 10 menggantikan subseksyen 27(1) memperuntukkan bahawa kerajaan boleh menggantung apa-apa penyiasatan jika kerajaan menerima aku janji daripada pengeksport untuk mengubah harganya atau menghentikan eksport ke dalam Malaysia pada harga yang dilambak.

Fasal 11 pula menyebut tentang pindaan seksyen 27A  memperuntukkan suatu duti antilambakan hendaklah dikenakan tidak lebih dari lima tahun sama ada dari tarikh pengenaannya atau dari tarikh penamatan kajian semula tamat tempoh yang terkini.

Kali terakhir Akta 504 dipinda ialah pada 1 Disember, 1999.

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan