KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 39 premis Tamu Desa telah dibina dan dinaik taraf di seluruh Sarawak oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sepanjang tahun lepas membabitkan peruntukan keseluruhan bernilai lebih RM7.85 juta.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata projek itu dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.
"Projek ini kali pertama diperkenalkan oleh KUSKOP bertujuan menambah baik pasar tamu di Sabah dan Sarawak bermula pada 2024 dan kita akan teruskan projek ini untuk tahun ini.
"Untuk projek di Sarawak tahun ini, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai mekanisme pelaksanaannya, dengan mengambil kira permohonan beberapa Ahli Parlimen yang mahu gerai-gerai dan tamu-tamu di luar bandar juga dibantu," katanya kepada pemberita selepas melawat premis Tamu Sungai Apong di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek pembangunan premis Tamu Desa adalah antara komitmen berterusan KUSKOP dalam memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar dan menggalakkan penyertaan aktif usahawan kecil dalam sistem ekonomi setempat di Sabah dan Sarawak.
Ewon berkata setakat ini, beliau telah menerima empat permohonan daripada ahli Parlimen Sarawak yang mahu inisiatif berkenaan diperluas di negeri ini.
"Saya perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk pemilihan lokasi yang sesuai bagi projek ini," katanya.
Sementara itu, Ewon dalam kenyataan memaklumkan bagi projek Tamu Desa di Sarawak, sebanyak 13 projek telah dilaksanakan dengan kos RM1.99 juta dan semuanya telah siap sepenuhnya melibatkan Fasa 1.
Bagi Fasa 2 pula, katanya melibatkan 26 projek dengan peruntukan RM5.85 juta dan antara projek yang sedang berjalan ialah Tamu Semarak dan Tamu Sukma yang dijangka siap Ogos ini.
Menurut kenyataan itu, penaiktarafan Tamu Sungai Apong turut dilaksanakan menerusi dua fasa dengan kos RM416,000, iaitu RM116,000 di bawah Fasa 1 dan RM300,000 di bawah Fasa 2.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui penyediaan infrastruktur niaga yang lebih kondusif kepada usahawan desa, khususnya di Sarawak.
“Secara keseluruhan, sebanyak 100 projek Tamu Desa telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dalam dua fasa pada tahun lepas, iaitu 61 projek di Sabah dan 39 di Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial