AM

Juruaudit Halal Perlu Beretika Tanpa Mengira Saiz Syarikat - Mohd Na’im

29/07/2025 09:46 PM

BANGI, 29 Julai (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyeru juruaudit halal agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan adil tanpa mengira latar belakang atau saiz sesebuah syarikat.

Beliau berkata juruaudit berperanan penting sebagai barisan hadapan dalam memastikan pematuhan piawaian halal dan sebarang kecuaian atau ketidakadilan boleh menjejaskan imej Islam serta institusi agama.

“Sifat adil perlu dilaksanakan tanpa membezakan kedudukan pemohon sijil halal. Ini peranan yang perlu dilaksanakan. 

“Saya tekankan persoalan isu rezeki yang halal (iaitu) mengelakkan diri daripada terjebak dalam perkara-perkara seperti salah guna kuasa dan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Juruaudit Malaysia 2025 di sini hari ini.

Mohd Na'im juga berkata keadilan harus menjadi prinsip utama dalam proses audit termasuk menolak sebarang bentuk rasuah atau layanan berbeza terhadap syarikat berdasarkan jenama atau kedudukan mereka.

“Kadang-kadang bukan minta secara terus tetapi kita menyusahkan pemohon sehingga mereka beranggapan juruaudit mengharapkan habuan... niat kena betul... jangan ambil sebarang bentuk hadiah daripada pemohon sijil halal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan lebih 300 juruaudit yang telah ditauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar menjaga etika dan reputasi institusi agar usaha menjamin rezeki yang halal terus diperkukuh.

“Jangan sekali-kali terlibat atau mengambil apa sahaja bentuk hadiah daripada syarikat yang memohon sijil halal... saya harap (sikap ini) ada dalam diri kesemua 300 juru audit yang telah diberikan tauliah hari ini,” katanya.

Konvensyen julung kali anjuran JAKIM itu menghimpunkan 200 juruaudit halal dari seluruh negara dengan tema ‘Halal Malaysia, Pemangkin Ekonomi MADANI’.

Mohd Na’im turut melancarkan Garis Panduan Juruaudit Halal yang bakal menjadi rujukan utama kepada semua juruaudit disusuli pelaksanaan kursus khas bagi memperkukuh pemahaman mereka terhadap garis panduan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan