KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua dijangka mula dilaksanakan September ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata inisiatif yang melibatkan hampir 3,000 tapak di seluruh negara itu, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pembinaan menara komunikasi konvensional, sebaliknya pendekatan hibrid akan diterapkan bagi mempercepatkan tempoh pelaksanaan.
“Bagi fasa dua kita tidak berhasrat untuk membina menara semata-mata, kerana kawasan yang memerlukan liputan mungkin tidak memerlukan menara 76 meter, (atau) 60 meter...mungkin (hanya perlukan) monopole 30 meter, mungkin penyelesaian yang lebih hibrid, jadi kita jangkakan masa untuk pelaksanaan itu lebih pantas,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) yang ingin tahu bilakah JENDELA fasa dua akan dilaksanakan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal Larry berkenaan liputan Internet 4G dan 5G di kawasan Parlimen Julau terutama di sekolah-sekolah luar bandar yang masih menghadapi masalah capaian Internet, Fahmi berkata liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Julau telah mencapai 58.28 peratus.
Beliau berkata peluasan liputan Internet berkenaan dilaksanakan di bawah Pelan JENDELA termasuk bagi sekolah-sekolah di luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Setakat 30 Jun 2025, sebanyak 43 daripada 48 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala 44 daripada 45 stesen pemancar telah dinaik taraf. Sebanyak 1,391 premis juga telah tersedia dengan capaian gentian optik,” katanya.
Fahmi berkata pelaksanaan teknologi 5G di Julau masih pada peringkat pertimbangan, kerana tumpuan awal diberikan kepada kawasan berpenduduk padat dan perindustrian.
“Namun begitu, peluasan liputan 5G ke kawasan luar bandar termasuk kawasan Julau, akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keperluan dan kesediaan infrastruktur,” katanya.
Mengulas inisiatif lain, Fahmi berkata kerajaan negeri Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) sedang melaksanakan pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) termasuk di Julau.
“Sebanyak 29 menara telah siap beroperasi manakala 15 lagi masih dalam pelaksanaan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga telah menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan SDEC, bagi mempercepat kesalinghubungan komunikasi di Sarawak,” katanya.
Selain itu Fahmi berkata penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah titik kehadiran (PoP) turut diperluas dengan 12 PoP telah siap di Julau setakat ini, menyediakan 1,225 port untuk dilanggan dengan kelajuan sehingga 1Gbps.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial