KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengenalan Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) sebagai inisiatif utama yang menyatukan program keusahawanan di bawah satu platform holistik.
Beliau berkata langkah itu menyatukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah satu program berimpak tinggi yang memberikan penjimatan kepada kerajaan.
"Ia menggabungkan tiga inisiatif utama, iaitu Karnival Usahawan Desa oleh KKDW, Hari Peneroka FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri oleh KUSKOP sebagai langkah strategik pembangunan desa," katanya pada sesi taklimat eksklusif media berkenaan Karnival MK3D 2025 di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Karnival MK3D berperanan sebagai pemangkin dengan menghimpunkan agensi sokongan, pembeli dan penyedia teknologi dalam satu ekosistem pembangunan usahawan luar bandar.
Beliau berkata dua juta pengunjung disasarkan menghadiri karnival yang julung kali akan diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini bermula 30 Julai hingga 3 Ogos ini.
"Kita menjangkakan sebanyak RM209 juta bukan sahaja hasil jualan dari segi urus niaga, tetapi juga dari segi business matching (pemadanan perniagaan) yang akan dapat dilahirkan sepanjang karnival itu diadakan," katanya.
Ahmad Zahid berkata melalui MK3D, lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara diberi peluang mempromosi produk mereka dalam persekitaran yang menghimpunkan pembeli, pelabur dan agensi sokongan.
Karnival bertemakan 'Desaku Mendunia' itu mencerminkan aspirasi strategik kerajaan untuk mentransformasikan potensi luar bandar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi bertaraf global.
Kerajaan komited membina ekonomi digital yang inklusif melalui pelbagai inisiatif seperti Geran DIGITALBIZ MARA dalam usaha memperkasakan usahawan dalam teknologi itu untuk pendigitalan perniagaan.
MK3D 2025 dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos dan menyampaikan beberapa bantuan, iaitu Geran DIGITALBIZ dan Program Pensijilan Perniagaan BEST oleh MARA kepada usahawan serta Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) oleh RISDA kepada pekebun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial