AM

Kehadiran Beruang Matahari Resahkan Warga SK Seberang Tayor

22/07/2025 06:13 PM

CHUKAI, 22 Julai (Bernama) -- Kehadiran dua ekor beruang matahari di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor dekat sini semalam menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Seorang petugas kebersihan Azmi Yaakob, 52, berkata kelibat haiwan liar itu mula dikesan di kawasan kebun dan tepi pagar sekolah kira-kira 8.30 pagi ketika murid-murid sedang sibuk menjalani latihan sukan di padang.

"Selepas melihat kelibat beruang, para guru terus mengarahkan murid-murid bersurai dan masuk ke kelas masing-masing. Agak lama juga beruang itu berlegar-legar di tepi pagar hingga kira-kira 11 pagi.

“Selepas itu, haiwan berkenaan memanjat pagar dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah sebelum menghilang ke belukar berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata walaupun bimbang keselamatan diri, beliau tetap memberanikan diri mengawasi pergerakan beruang berkenaan demi keselamatan warga sekolah dengan haiwan itu mungkin datang mencari makanan di kawasan kebun sekolah yang mempunyai pokok rambutan, manggis dan cempedak.

"Ini kali pertama saya melihat beruang di depan mata dan saiznya agak besar. Pihak sekolah sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) semalam yang telah datang membuat pemantauan di sekitar kawasan dan memasang perangkap," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung berhampiran sekolah berkenaan sejak Mei.

“Selain itu, kawalan dan pemantauan berterusan di lokasi yang dikenal pasti turut dilaksanakan bagi mengesan dan menjaga keselamatan penduduk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan