AM

Lebih 10,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Di Muar

21/07/2025 05:51 PM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Majlis Peluncuran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 dan acara sampingan yang akan berlangsung selama tiga hari di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor bermula pada 25 Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan berkata perkhidmatan bas ulang-alik dan tempat letak kereta percuma akan disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi acara.

"Empat bas akan disediakan dari Terminal Bentayan dan kawasan di sekitar Muar, dengan kekerapan antara 10 hingga 15 minit," katanya pada taklimat media berhubung acara itu di sini hari ini.

Mengulas mengenai pengisian majlis berkenaan, Julina berkata acara kemuncak pelancaran akan diadakan pada 27 Julai (Ahad) dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, diiringi semua anggota Jemaah Menteri.

Antara tumpuan utama ialah pelepasan rasmi Kembara Jalur Gemilang 2025 yang buat julung kali menyaksikan penglibatan kontinjen air, merangkumi 59 bot nelayan, dua bot Jabatan Laut, tiga bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan dua bot Polis Marin.

Julina berkata acara prapelancaran bermula dari 25 Julai akan menampilkan pelbagai program berpaksikan rakyat seperti tayangan filem kenegaraan, sesi komuniti bersama penduduk setempat serta Karnival Kita MADANI yang berlangsung hingga 27 Julai.

Karnival itu menghimpunkan pelbagai reruai perkhidmatan kerajaan termasuk kaunter diskaun saman Polis Diraja Malaysia hingga 30 peratus, pemeriksaan kesihatan percuma, jualan RAHMAH dan Kasih Johor serta khidmat nasihat perniagaan kepada golongan belia.

"Karnival Kita MADANI merupakan inisiatif JaPen yang kita laksanakan khusus menjelang peluncuran sambutan Bulan Kebangsaan. Kita turun padang menyantuni rakyat, khususnya di Bandar Maharani Muar,” katanya.

Pada 26 Julai, Julina berkata Program Bakti Komuniti MADANI akan diadakan di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah, bermula pada 8 pagi dengan pelbagai aktiviti kerakyatan seperti gotong-royong, kenduri rakyat, penyelenggaraan surau serta perkhidmatan gunting rambut dan tukar minyak hitam percuma.

Acara itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada 11.30 pagi, diikuti jamuan rakyat. 

Turut berlangsung pada hari sama ialah Permukiman Komuniti MADANI Semenanjung 2025 di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh, Melaka yang menghimpunkan lebih 2,300 ahli Komuniti MADANI dan akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Pada sebelah malam pula, pengunjung akan dihiburkan dengan pertandingan nyanyian Suara MADANI yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan menampilkan lagu-lagu patriotik. 

Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, tempat kedua RM700 dan tempat ketiga RM500 serta lima hadiah saguhati sebanyak RM200 setiap seorang.

Hari kemuncak pada 27 Julai akan dimulakan seawal 7 pagi dengan Merdeka Fun Run & Walk sejauh 6.8 kilometer yang terbuka secara percuma kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebanyak 1,000 peserta terawal akan menerima kemeja-T manakala pingat edisi khas disediakan kepada peserta yang menghabiskan larian,” kata Julina, sambil menambah larian akan diiringi persembahan kenegaraan dan peserta digalakkan memakai baju bertemakan rona Jalur Gemilang.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia pula berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang dengan tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.

Maklumat mengenai sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia serta acara-acara berkaitan boleh didapati melalui portal rasmi www.merdeka360.my atau platform media sosial Merdeka360 di Facebook, Instagram dan X.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan