AM

Sembilan Kawasan Di Semenanjung Rekod IPU Tidak Sihat Setakat 3 Petang

21/07/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Sebanyak sembilan kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 3 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Alor Gajah di Melaka mencatatkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 157 diikuti Seremban, Negeri Sembilan (155) dan Kemaman, Terengganu (153).

Tiga kawasan lain, iaitu Johan Setia di Selangor, Temerloh di Pahang dan Balok Baru di Kuantan, Pahang masing-masing merekodkan bacaan 152.

Nilai di Negeri Sembilan pula mencatatkan bacaan 138, Banting di Selangor (135) dan Cheras (132) turut merekodkan tahap IPU tidak sihat.

Menurut klasifikasi JAS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh memberikan kesan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak serta individu yang menghidap penyakit pernafasan.

JAS dalam kenyataan terdahulu menasihati orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka sekiranya berada di kawasan terbuka serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami sesak nafas atau gangguan pernafasan.

Maklumat terkini mengenai bacaan IPU boleh disemak melalui laman sesawang https://apims.doe.gov.my.

Sementara itu, Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar menerusi kenyataan berkata kemerosotan kualiti udara di kebanyakan kawasan masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan.

Beliau berkata Balok Baru dan Kemaman, Terengganu pula mencatatkan IPU tidak sihat berikutan insiden kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jerangau-Jabor, Mukim Sungai Karang di Kuantan, Pahang.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada semalam, katanya imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 telah mengesan 40 titik panas (hotspot) di Sumatera dan 64 titik panas di Kalimantan, Indonesia. 

NOAA 20 juga mengesan sejumlah 19 titik panas di dalam negara, iaitu 12 di Sabah, masing-masing tiga di Pahang dan Sarawak serta satu di Selangor.

“Peta Jerebu Serantau dikeluarkan oleh ASMC hari ini menunjukkan pergerakan angin bertiup ke arah barat daya dan terdapat lingkaran asap jerebu diperhatikan. Keadaan kering dilaporkan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia, Sumatera, Jawa, Kepulauan Sunda Kecil dan bahagian selatan Kalimantan. 

“Titik panas terpencil juga dikesan di Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Vietnam dan Thailand,” katanya.

Berikutan itu JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri, serta mengambil langkah pencegahan bagi mengelak pencerobohan serta pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Wan Abdul Latiff  turut mengingatkan bahawa kesalahan pembakaran terbuka boleh denda sehingga RM1 juta, penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain boleh dikompaun hingga 50 peratus daripada denda maksimum.

“Orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi talian 999 dan talian bebas tol JAS 1-800-88-2727,” katanya. 

Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk menerusi laman web JAS https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di Google Play atau App Store, manakala nasihat kesihatan dan langkah pencegahan semasa jerebu boleh didapati menerusi laman web Kementerian Kesihatan (KKM) www.moh.gov.my

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan