KUCHING, 21 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru agar rakyat Sarawak terus bersatu padu dan berganding bahu dengan kerajaan serta sektor swasta bagi membina masa depan negeri yang lebih gemilang.
Dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak, beliau menyifatkan tarikh 22 Julai 1963 sebagai simbol penting jati diri rakyat Bumi Kenyalang apabila pentadbiran Koloni British menyerahkan kuasa pemerintahan untuk menubuhkan kerajaan sendiri yang diketuai Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak.
"Peristiwa ini merupakan langkah awal penting sebagai persediaan Sarawak menyertai pembentukan Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Tanah Melayu. Penyerahan kuasa pemerintahan ini berlaku sebelum Sarawak secara rasmi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.
“Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada pembentukan identiti Sarawak sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Kita mengenang jasa tokoh-tokoh awal yang membuka jalan seperti Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Datuk Seri Tawi Sli yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk pentadbiran sendiri,” katanya dalam perutusan berkenaan hari ini.
Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Menteri terdahulu termasuk Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atas sumbangan besar mereka terhadap pembangunan Sarawak.
Mengulas kepimpinan kerajaan negeri masa kini, beliau memuji usaha Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menerajui Sarawak ke arah kemajuan melalui pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau berkata fokus PCDS 2030 terhadap pertumbuhan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen hijau, bioekonomi serta pelaburan dalam pendidikan dan inovasi telah meletakkan negeri itu di landasan kukuh untuk melonjak ke peringkat global.
“Ekonomi Sarawak telah menunjukkan daya tahan yang kukuh pasca pandemik, dan kini bersedia menjadi peneraju dalam bidang tenaga hijau dan digital.
"Kemajuan ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama erat antara kerajaan, rakyat dan sektor swasta. Kerajaan menyediakan dasar dan infrastruktur, sektor swasta menjadi pemacu pelaburan, dan rakyat sebagai penyokong aspirasi pembangunan,” katanya.
Bersempena Hari Sarawak tahun ini, Wan Junaidi berharap sambutan berkenaan dapat menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negeri, seterusnya menjadi dorongan untuk rakyat terus mara dengan yakin dan bersatu hati.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial