AM

Lebih RM146 Juta Untuk Projek Pembangunan Infrastruktur Di Kelantan - Nga

18/07/2025 08:45 PM

KOTA BHARU, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM146.22 juta bagi pelaksanaan 24 projek pembangunan infrastruktur serta kerja baik pulih di Kelantan tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu diluluskan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan akan dilaksanakan menerusi lapan jabatan serta agensi KPKT.

“Antara projek utama termasuk pembinaan 855 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) melibatkan peruntukan RM69.37 juta di 14 kawasan Parlimen,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Program Baik Pulih Rumah di Kampung Penambang, di sini hari ini.

Selain itu, Nga berkata RM30.58 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan bagi 95 projek pembangunan dan baik pulih cerun oleh pihak berkuasa tempatan termasuk pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh, Pasar Besar Kuala Krai serta pembinaan gerai dan kemudahan awam di Pantai Cahaya Bulan.

“Bagi kerja baik pulih 389 unit rumah serta pembinaan 27 unit rumah baharu di bandar, peruntukan sebanyak RM13.95 juta disediakan melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti. Kerajaan juga memperuntukkan dana untuk penyelenggaraan 10 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di negeri ini,” katanya.

Selain itu, RM12.7 juta disalurkan untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pasir Mas, Ayer Lanas (Jeli), Batang Merbau (Tanah Merah) serta Program Residensi Rakyat (PRR) Kadok (Kota Bharu).

“Bagi mengindahkan persekitaran dan taman awam, RM10.95 juta diluluskan melalui Jabatan Landskap Negara termasuk di Pasir Puteh dan Kota Bharu, selain satu kajian Pelan Induk Landskap untuk Majlis Daerah Machang,” katanya.

Nga turut memaklumkan peruntukan RM4.47 juta bagi 11 projek kemajuan Kampung Baru termasuk pembinaan dua rumah dan baik pulih 42 rumah di Kampung Baru seluruh Kelantan.

“Selain itu, RM2.7 juta diperuntukkan bagi kerja baik pulih dan penyelenggaraan perumahan kos rendah berstrata melalui Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia dan Program Penyenggaraan Perumahan manakala RM1.5 juta untuk pembinaan Bengkel Kejuruteraan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan,” katanya.

Nga menegaskan KPKT kekal komited bekerjasama dengan semua PBT tanpa mengira fahaman politik demi merealisasikan pembangunan negara secara lestari dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, KPKT pada tahun ini meluluskan bantuan kewangan lebih RM1 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf dan baik pulih kepada 10 RIBI di Kelantan setakat 7 Julai berbanding RM800,000 bagi sembilan RIBI di Kelantan tahun lepas.

"Peningkatan jumlah peruntukan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada kumpulan yang tercicir termasuk di Kelantan," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Peruntukan RIBI di St. Martin’s Church, di sini, hari ini.

Menurut Nga KPKT turut diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Seluruh Negara di bawah Inisiatif Belanjawan 2025. 

"Sejumlah RM50 juta bantuan kewangan diperuntukkan kepada organisasi RIBI di seluruh negara bagi tujuan menyelenggara dan membaik pulih rumah ibadat masing-masing, seterusnya memberikan keselesaan kepada penganutnya untuk beribadat," katanya.

Katanya Kerajaan MADANI komited untuk menjaga semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan