AM

JKR Labuan Raih Tempat Ketiga Anugerah Inovasi Pengurusan

16/07/2025 05:01 PM

LABUAN, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan mengharumkan nama Wilayah Persekutuan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Anugerah Inovasi Pengurusan JKR Negeri Terbaik sempena Persidangan Pegawai Kanan JKR Malaysia (SOC) 2025.

Persidangan tahunan selama tiga hari yang berlangsung dari 14 hingga 16 Julai di Terengganu itu dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan dihadiri lebih 400 pegawai kanan JKR termasuk pengurusan tertinggi jabatan, jurutera daerah dan pegawai teknikal dari seluruh negara.

SOC dianjurkan sebagai platform strategik dan intelektual yang bertujuan mempertingkatkan kompetensi serta profesionalisme dalam kalangan pegawai JKR, di samping menambah baik penyampaian perkhidmatan jabatan melalui pendekatan mampan dan holistik.

Kejayaan JKR Labuan meraih tempat ketiga adalah hasil penyertaan dalam pertandingan yang melibatkan 13 negeri lain.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail dan diterima oleh wakil JKR Labuan Hatiyah Jenawi dan Haslina Salim.

Pencapaian itu mencerminkan kerjasama dalaman yang kukuh serta pengurusan yang berkesan dalam jabatan, sekali gus menyokong visi dan misi untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi demi manfaat rakyat.

JKR Selangor muncul juara keseluruhan pertandingan, manakala JKR Terengganu meraih tempat kedua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan