AM

Gadis Orang Asli Jakun Cemerlang STPM Dapat Tawaran Ke University Of Manchester

15/07/2025 05:07 PM

KUANTAN, 15 Julai (Bernama) --  Tekad anak muda Orang Asli suku kaum Jakun untuk menimba ilmu dalam bidang ekonomi membuahkan hasil selepas Roziana Tan Beng Hai, 20, ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu di University of Manchester, United Kingdom.

Roziana yang berjaya mencatat keputusan 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 berkata beliau memilih bidang ekonomi dan sosial (Economic and Social Studies) kerana berhasrat untuk meningkatkan taraf ekonomi bangsanya serta menjadi pegawai ekonomi. 

“Saya merupakan orang pertama dari Kampung Mentelung, Rompin yang melanjutkan pelajaran dalam STPM. Di kampung saya, tidak ramai yang berpendidikan tinggi dan kebanyakan daripada mereka adalah dalam kategori B40.

“Jadi, saya harap dapat meningkatkan taraf hidup dan peluang pekerjaan untuk masyarakat saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Murid Cemerlang SPM dan STPM 2024 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di sebuah hotel di sini hari ini. 

Beliau turut berkongsi bahawa peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara merupakan satu cara untuk membalas jasa ibunya Rohani Lamwan, 56, yang membesarkannya seorang diri dengan bekerja di Ladang Sawit YP Plantation Holdings Sdn Bhd.

“Saya perlu beri ibu saya sesuatu kejayaan, supaya dia boleh ingat yang dia besarkan saya tidak sia-sia,” katanya. 

Sebagai persiapan untuk ke universiti di ranking ke-53 dunia itu, Roziana berkata beliau sedang bersedia untuk menduduki Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (IELTS) pada 19 Julai ini.   

Sementara itu, Siti Nur Hawani Binti Muhammad Almi, 18, yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dengan keputusan 9A akan menyambung pengajian dalam jurusan Pendidikan Islam di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu pada 11 Ogos ini. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Rompin itu berkata jurusan pendidikan Islam merupakan pilihan utama baginya, selain beliau juga bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik atau ustazah. 

“Saya sangat terinspirasi dengan guru-guru saya di sekolah dan saya rasa mengajar ini seronok. Saya di sekolah juga menjadi seorang guru muda SPM untuk kawan-kawan dan saya dapat semangat itu daripada situ,” katanya. 

Dalam masa sama, beliau menitipkan pesanan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM agar berani keluar dari zon selesa demi mencapai kejayaan luar biasa.

“ Dulu saya tidak pernah dapat 8A atau 9A, paling tinggi pun 5A atau 6A, dan saya pun agak malas dan tidak fokus. Tapi bila SPM semakin hampir, saya sedar saya kena berubah. Saya paksa diri untuk lebih berusaha dan akhirnya saya berjaya dapat 9A. Alhamdulillah,” katanya. 

Roziana dan Siti Nur Hawani merupakan antara 149 murid Orang Asli yang menerima pengiktirafan dalam majlis hari ini atas pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan awam tersebut. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jakoa Zamri Mustajap berkata pihaknya juga memperuntukkan insentif berjumlah RM45,550 kepada semua penerima hari ini. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan