POLITIK

Ahli Parlimen PH Diberi Taklimat Mengenai Isu Kehakiman, Tribunal - Fahmi

14/07/2025 07:59 PM

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diberi taklimat mengenai pelbagai isu semasa termasuk berkaitan pembentukan tribunal kehakiman dalam perjumpaan tertutup Ahli Parlimen PH bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR berkata Ahli Parlimen turut diberikan penjelasan mengenai Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada pelantikan, pemecatan dan syarat perkhidmatan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

"Ada juga (penjelasan) mengenai pembentukan tribunal dan beberapa perkara yang berkaitan, itu sahaja," katanya kepada media selepas perjumpaan tersebut di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai perkara berkaitan badan kehakiman akan dimaklumkan pada sidang media pasca-Kabinet.

Sementara itu, Fahmi berkata sesi perjumpaan tertutup hampir dua jam bersama Perdana Menteri diterima baik oleh Ahli Parlimen PH.

"Pertemuan ini sangat-sangat baik dan diterima baik oleh Ahli Parlimen. Insya-Allah, kita akan lihat perkara-perkara yang berbangkit selepas ini," katanya.

Pertemuan itu merupakan kesinambungan kepada sesi serupa bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lepas bagi menjelaskan beberapa isu semasa termasuk mengenai cukai, khabar angin subsidi petrol RON95 dan isu badan kehakiman.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan