AM

PMR 2025 Terengganu: Kemuncak Program Rai Komitmen Kerajaan Dekati Rakyat

12/07/2025 09:02 AM

KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung hari ini menjadi kemuncak kepada pelbagai pengisian sepanjang tiga hari penganjuran program itu di perkarangan Pasar Besar Kedai Payang.

Majlis yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menjadi platform penting untuk menzahirkan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam menyantuni rakyat serta menyampaikan maklumat dasar dan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada masyarakat setempat.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan barisan Menteri Kabinet lain juga bakal menghadiri majlis sama.

PMR edisi ini yang menampilkan pengisian lebih bersasar dan menyentuh keperluan rakyat setempat ini melibatkan 24 reruai kementerian, 127 perkhidmatan touchpoint rakyat dan tujuh perkhidmatan bergerak.

Menurut tentatif program, antara pengisian yang dirancang termasuk penyerahan peruntukan penyenggaraan Jalan Persekutuan bagi tahun 2025 serta penyerahan Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dalam kalangan keluarga eKasih.

PMR edisi kali ini yang menampilkan pendekatan lebih bersasar serta memberi tumpuan kepada keperluan rakyat setempat turut melibatkan 24 reruai kementerian, 127 perkhidmatan ‘touchpoint’ dan tujuh perkhidmatan bergerak.

Selain itu, pelbagai program menarik berteraskan lokaliti turut diketengahkan seperti Karnival Candat Sotong, Explorace Pasar Payang, Fun Run, Sukan Rakyat serta persembahan pentas oleh artis tempatan.

Nilai-nilai murni, warisan tempatan dan semangat perpaduan juga diserlahkan menerusi aktiviti seperti program Terengganu Bermunajat, pertandingan memasak bubur Asyura dan masakan sotong, selain demonstrasi kraf dan makanan warisan.

Penganjuran PMR 2025 Terengganu yang bermula sejak Khamis lalu mencatat sambutan luar jangka apabila jumlah kehadiran pengunjung pada dua hari pertama mencecah 50,407 orang, melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

Program selama tiga hari itu menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung selaras dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.

Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan