ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) -- Amalan pertanian berteraskan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu menarik minat golongan muda untuk terlibat dalam sektor pertanian dan menjadikan sektor itu lebih berdaya maju.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah Dzowahir Ab Ghani berkata perkara itu akan menjadi tumpuan kerajaan negeri sekali gus menyarankan jabatan berkaitan menyediakan kursus bagi meningkatkan pengetahuan petani dalam teknologi terkini.
"Contohnya, di Gajah Mati, Pokok Sena, tanaman tembikai susu yang dijalankan Jabatan Pertanian Kedah bersama sekumpulan anak muda diusahakan menggunakan teknologi.
“Boleh guna aplikasi di telefon pintar untuk siram tanaman sambil duduk di rumah atau menggunakan dron…ini antara usaha kita menarik anak muda sebab pulangannya baik dan menggunakan teknologi terkini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Dzowahir berkata kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan Jabatan Pertanian turut menyediakan kursus tertentu untuk golongan muda mempelajari teknologi terkini dalam bidang pertanian.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata langkah kerajaan negeri itu adalah tepat bagi menjamin bekalan makanan negara yang disumbangkan oleh sektor pertanian.
Beliau berkata usaha berteraskan teknologi dapat memaksimumkan pengeluaran dengan kos minimum di atas tanah keluasan kecil.
“Bancian yang dijalankan mendapati mereka yang berumur lebih 60 tahun adalah tertinggi terlibat dalam aktiviti pertanian di Kedah, namun semakin ramai golongan muda mula mengambil alih peranan itu.
“Kedah ada 2.2 juta penduduk tapi dapatan kita mendapati yang menjadi petani, nelayan hanya lebih 124,431 orang…Saya jangkakan penggunaan teknologi dan sebagainya boleh menarik minat mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial