Oleh Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- ASEAN mahu semua pihak yang terlibat dalam isu Laut China Selatan agar menguruskan situasi di laluan perairan strategik itu dengan “bijaksana dan berhemah” bagi memastikan ketegangan geopolitik tidak semakin meningkat.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keamanan sejagat dilihat semakin rapuh dengan ketara, justeru ASEAN perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini terus terpelihara.
“Kita perlu memastikan agar ketegangan geopolitik tidak terus meningkat atau menjejaskan keselamatan serta perdagangan global di Laut China Selatan,” katanya dalam ucapan pembukaan pada Persidangan Pasca Menteri ASEAN bersama China sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.
Menteri Luar China Wang Yi mengetuai delegasinya pada mesyuarat peringkat tinggi itu.
Mohamad berkata ASEAN menyambut baik perkembangan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dan berharap momentum positif itu berterusan.
"Kami yakin dengan komitmen penuh semua pihak dalam rundingan ini, kita mampu memuktadkan CoC yang efektif dan substantif dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata ASEAN menyambut baik kesediaan China menjadi Negara Senjata Nuklear (NWS) pertama menandatangani dan mengesahkan Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa reservasi.
“Hal ini akan menandakan satu langkah penting ke hadapan, yang memperlihatkan kepimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, komited untuk bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN dan China bagi mempertingkatkan kerjasama demi manfaat rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial