JENAYAH & MAHKAMAH

Saksi Penting Kes Ugut Bunuh Exco Armada Bersatu Dikenal Pasti - Polis

05/07/2025 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Polis sudah mengenal pasti saksi penting berhubung kes ugutan bunuh membabitkan seorang pengarah sebuah syarikat yang juga exco Armada Bersatu. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek yang didakwa merancang untuk membunuhnya. 

Beliau berkata setakat ini, dua orang saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Polis juga mengenal pasti seorang saksi penting berkaitan kes ini dan akan dipanggil untuk dirakam percakapan. Kita percaya keterangan saksi ini adalah kunci untuk menjejaki pelaku terlibat dan memperjelas motif ugutan ke atas pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Bagaimanapun menurut Sulizmie, setakat ini tiada sebarang tangkapan ke atas mana-mana individu berkaitan kes berkenaan. 

Beliau berkata pihaknya giat mengesan identiti suspek terlibat dan melakukan siasatan dari semua segi selain memberi jaminan keutamaan kepada keselamatan pengadu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah melalui perantaraan nama yang disembunyikan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp Pang Wei Keong di talian 013-2082391 atau menyalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Rosdi M. Husin di talian 013-3920694,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan exco Armada Bersatu Na’im Brundage mendedahkan menerima ugutan bunuh termasuk ancaman disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Beliau membuat laporan polis atas sebab bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan