AM

Bapa Mentua Hamzah Zainudin Meninggal Dunia

05/07/2025 05:49 PM

IPOH, 5 Julai (Bernama) -- Bapa mentua kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin iaitu Datuk Abdul Ghani Ngah disahkan meninggal dunia pada 1.45 tengah hari tadi. 

Pejabat Ketua Pembangkang ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan setakat berita ini ditulis, jenazah berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.  

Difahamkan Allahyarham dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan selepas terbabit dalam kebakaran di rumahnya pada 19 Jun lepas.

Abdul Ghani, 83, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan mengalami komplikasi dalaman dan sesak nafas semasa kejadian tersebut.

Jenazah Allahyarham akan disolatkan malam ini selepas solat isyak di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim mengucapkan takziah kepada bapa mentua Hamzah dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. 

Dalam kejadian tersebut, isteri kepada Abdul Ghani, Datin Salmiah Nyak Matt, 84, terkorban selepas ditemukan tidak sedarkan diri di ruang bilik bahagian bawah rumah oleh pasukan penyelamat.

Pada 19 Jun lepas, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat yang membabitkan enam orang dengan empat daripadanya yang berusia 18 hingga 49 tahun selamat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan