AM

Semakan SST: KPDN Gerak Tiga Pendekatan Pastikan Kelancaran Op Kesan 4.0 - Armizan

30/06/2025 08:43 PM

KOTA KINABALU, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menggerakkan tiga pendekatan dalam memastikan keberkesanan Op Kesan 4.0, yang dijalankan sejajar dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST), mulai esok.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendekatan itu termasuk melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan antara lain mengguna pakai data kutipan harga harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN. 

"Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST," katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus bersama persatuan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan turut memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, selain menggalakkan penglibatan awam sejajar pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

Beliau berkata penetapan prosedur operasi standard mengenai pengurusan aduan berkaitan caj, harga dan bekalan juga akan digerakkan sebagai pendekatan terbaik dalam memastikan pelaksanaan operasi itu mencapai sasaran ditetapkan.

"Saluran aduan disediakan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat kepada kementerian," katanya.

Beliau berkata KPDN akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah serta tidak sejajar dengan perundangan pencatutan iaitu denda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya bagi peniaga individu jika disabitkan kesalahan, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan.

Armizan berkata Op Kesan 4.0 akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

Beliau berkata fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah AKHAP 2011.

Skop penguatkuasaan, katanya turut meliputi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar SST berkaitan termasuk pemantauan terhadap barangan tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan