KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah berserta wang tunai, trofi dan sijil penghargaan kepada tokoh pendakwah itu.
Nooh, 79, yang merupakan anak kelahiran Kampung Tekam, Pogoh, Segamat, Johor kini berkhidmat sebagai Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Beliau memegang jawatan Mufti Johor bermula 1999 hingga 2002 dan pada 2008 dilantik selaku Penasihat Agama kepada Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Tokoh lulusan doktor falsafah (PhD) Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu pernah menerima menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor 2009 dan Tokoh Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1434H/2013M.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Nooh menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas anugerah diterima.
"Semoga pengiktirafan ini menjadi semangat kepada saya secara peribadi untuk terus menabur bakti terhadap pembangunan ummah dan menegakkan syiar Islam,” katanya.
Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig Fawzan Muhammed Al-Rabiah, 60, atau lebih dikenali sebagai Dr Tawfig Al-Rabiah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447H/2025M dengan membawa pulang hadiah wang tunai, trofi serta sijil.
Sebagai Menteri Haji dan Umrah, beliau memainkan peranan penting dalam memodenkan perkhidmatan jemaah melalui inisiatif digital dan kerjasama antarabangsa, selaras dengan Visi Saudi 2030.
Beliau juga dikenali sebagai tokoh reformis yang berpengaruh dalam transformasi sektor kesihatan dan perindustrian Arab Saudi.
Tokoh ilmuan itu telah menerbitkan lebih daripada 16 kertas penyelidikan dalam jurnal antarabangsa, menjadi pengarang bersama buku mengenai rangkaian berkelajuan tinggi selain menyumbang kepada dokumen Pelan Visi Teknologi Maklumat Kebangsaan Saudi.
Berangkat mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar.
Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Kabinet serta hampir 8,000 tetamu termasuk kontinjen dari kementerian, jabatan serta agensi kerajaan dan perwakilan asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial