AM

40 Projek Infrastruktur Dilaksanakan Di Kapit - Timbalan Premier

26/06/2025 08:37 PM

KAPIT, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 40 projek infrastruktur dibiayai sepenuhnya kerajaan Sarawak sedang dan akan dilaksanakan di Bahagian Kapit di bawah seliaan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua projek tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM1.233 bilion sebagai usaha berterusan kerajaan negeri untuk memacu pembangunan luar bandar.

“Daripada jumlah itu sebanyak 19 projek telah siap sepenuhnya manakala lima lagi sedang dalam pelaksanaan dengan kos keseluruhan RM116 juta merangkumi pembinaan jalan raya dan jambatan yang amat diperlukan penduduk pedalaman,” katanya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Jalan Nanga Ibau/Ulu Sungai Ibau di sini, hari ini.

Menurut beliau baki 16 projek bernilai RM721 juta dijangka ditender dalam tahun ini.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh terutama di kawasan luar bandar seperti Kapit,” katanya.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata majlis hari ini melibatkan projek pembinaan jalan sepanjang 12.5 kilometer mengikut piawaian JKR R1 dengan nilai keseluruhan RM99.9 juta.

Beliau berkata projek tersebut turut merangkumi pembinaan dua jalan spur, tiga jambatan besi, kerja tanah, pemasangan saluran air konkrit bawah jalan (culvert), sistem saliran serta pemasangan kelengkapan jalan.

Katanya projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan bermula 5 Mei lepas dan dijangka memberi manfaat kepada 11 rumah panjang membabitkan 219 pintu serta hampir 1,900 penduduk.

"Projek ini juga akan menyediakan akses lebih baik ke Klinik Kesihatan Nanga Ibau serta dua sekolah rendah iaitu SK Nanga Ibau dan SK Nanga Segenok," katanya.

Uggah turut melontarkan cabaran kepada kontraktor Sky High Construction Sdn Bhd untuk berusaha menyiapkan projek dalam tempoh 30 bulan yang dipersetujui kontraktor terbabit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan