AM

Sultan Nazrin Lancar ZAPAR, Entiti Rasmi Urus Kutipan Zakat Dan Wakaf Tunai Perak

26/06/2025 11:31 AM

IPOH, 26 Jun (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) sebagai entiti rasmi pengurusan kutipan zakat dan wakaf tunai bagi negeri itu di Pusat ZAPAR di sini, hari ini.

Baginda bertitah penubuhan ZAPAR oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) merupakan inisiatif strategik bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti organisasi iaitu suatu langkah dinamik memungkinkan perkhidmatan kutipan zakat lebih berkualiti dan responsif kepada pelanggan dan rakyat.

Titah Sultan Nazrin kewujudan ZAPAR akan memberi manfaat besar kepada golongan asnaf dan pembayar zakat dengan keutamaan tatakelola cekap, teratur serta berorientasi digital dalam menyuburkan peranan institusi Islam seiring arus semasa. 

"Melalui platform digital, kutipan zakat kini dapat dilakukan dengan lebih mudah dan pantas. Kemajuan teknologi juga membantu mempercepatkan proses agihan secara lebih menetapi sasaran dengan pengumpulan maklumat yang lebih tepat dan tersusun.

"Kini setiap transaksi yang berlaku mudah dijejak oleh pembayar dan penerima sekali gus meningkatkan ketelusan integriti institusi ini," titah baginda pada Majlis Pelancaran ZAPAR di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin bertitah dengan trend perolehan kutipan zakat serta cabaran tugas yang semakin meningkat, amatlah bertepatan mengambil pendekatan berani dengan merintis langkah strategik, melakukan penghijrahan, mengolah struktur organisasi dan budaya kerja baharu.

Titah Sultan Nazrin, baginda telah memperkenankan sembah cadangan MAIPk yang bersidang pada 12 Jan 2024 apabila majlis itu merumuskan ketetapan untuk menambah baik tugas pungutan zakat melalui penubuhan sebuah anak syarikat milik penuh MAIPk.

"Alhamdulillah niat murni yang disusuli dengan usaha yang ikhlas telah dimakbulkan Ilahi.  

"Ketika MAIPk pada hari ini genap 78 tahun penubuhannya mengikut perkiraan tahun Hijri, dengan izin Allah SWT, kita dihimpunkan untuk menjadi saksi pelancaran Zakat Perak Al Ridzuan atau singkatan namanya ZAPAR," titah baginda.

Sultan Nazrin turut berkongsi sejarah kejayaan MAIPk yang ditubuhkan pada 23 Okt 1949 dan bertanggungjawab sebagai baitulmal mengurus perkara berkaitan harta orang Islam, terutama urusan zakat serta wakaf di Perak.

Sultan Nazrin bertitah MAIPk merekodkan kutipan zakat bagi semua kategori merangkumi harta dan fitrah berjumlah RM26.3 juta pada 2004 dan tahun lepas institusi itu merekodkan kutipan zakat RM253 juta, peningkatan 858 peratus dalam tempoh 20 tahun. 

Baginda bertitah kutipan zakat yang semakin meningkat dipengaruhi enam faktor iaitu kesedaran, fahaman dan penghayatan umat Islam terhadap perintah serta hukum yang mewajibkan zakat.

Pada masa sama ia adalah cerminan pendapatan umat Islam secara perseorangan mahupun perniagaan dan tanaman yang meningkat, insentif kerajaan memberi rebat cukai pendapatan serta potongan cukai keuntungan perniagaan kepada individu dan institusi yang membayar zakat.

Dalam pada itu, titah Sultan Nazrin ia juga disebabkan pengenalan wakalah, penambahbaikan pengurusan zakat dan keyakinan umat Islam untuk menunaikan zakat melalui MAIPk.

Sementara itu, pada majlis hari ini, Sultan Nazrin turut berkenan meninjau pejabat ZAPAR melibatkan lawatan ke reruai pameran, menandatangani buku lawatan, serahan zakat dan sesi bergambar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan