AM

Iran Sedia Henti Tindakan Ketenteraan Jika Israel Tamatkan Serangan - PM

24/06/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat Israel menamatkan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian dalam perbualan telefon dengan Anwar mengenai perkembangan terkini konflik antara Iran dengan rejim Zionis Israel.

"Presiden Masoud mengesahkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian – dengan syarat bahawa Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.

"Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran," kata Anwar menerusi hantaran Facebook hari ini.

Menurut Anwar, Malaysia secara jelas menegaskan pendirian bahawa negara mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Gaza dan Iran yang telah mengorbankan bukan sahaja rakyat biasa, tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.

"Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa," kata Anwar.

Beliau berkata Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar, namun dalam kerangka keadilan sejagat, negara mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negara itu.

"Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel, tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri," kata beliau.

Anwar turut menyatakan Malaysia menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.

"Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan