AM

Tindakan Komprehensif Perlu Dilaksana Tangani Jenayah Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak

22/06/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pihak berkuasa perlu segera melaksanakan tindakan komprehensif bagi membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin membimbangkan, kata Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menekankan setiap ancaman siber, khususnya yang menyasarkan kanak-kanak perlu ditangani dengan tindakan tegas dan pantas tanpa sebarang kelengahan.

Gesaan itu dibuat susulan pendedahan mengejutkan mengenai kewujudan kumpulan Facebook dikenali sebagai ‘Group Budak2 Sekolah Rendah’, yang didakwa berkongsi kandungan seksual membabitkan murid sekolah rendah dan mempunyai lebih 12,000 ahli, sebahagian daripadanya adalah pemerhati pasif.

“Difahamkan terdapat beberapa peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk mendakwa pelaku jenayah seksual dalam talian terhadap golongan ini dan langkah itu amat dialu-alukan.

“Namun, masih banyak jurang yang perlu dirapatkan, kelemahan yang wajar diperbaiki serta tindakan susulan yang perlu dilaksanakan segera demi melindungi mereka yang paling terdedah kepada ancaman ini,” menurut Nurul Izzah dalam hantaran itu.

Beliau berkata semakin hari pelaku jenayah seksual semakin licik serta canggih termasuk menggunakan teknologi dan laman sesawang gelap untuk menyembunyikan jejak mereka.

Sehubungan itu, Nurul Izzah mencadangkan supaya satu gerak kerja yang tersusun, tegas dan menyeluruh digerakkan oleh agensi-agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi dan MCMC untuk membentangkan mekanisme pemantauan yang jelas, telus dan berkesan bagi menilai tahap perlindungan digital terhadap kanak-kanak.

Selain itu, beliau menuntut agar KPWKM dan PDRM membentangkan laporan terbuka berkenaan kes-kes semasa dan terdahulu melibatkan jenayah seksual dalam talian, bagi memastikan ketelusan serta pertanggungjawaban yang menyeluruh kepada rakyat.

Selain itu, dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap golongan berkenaan, Nurul Izzah turut menyarankan agar akses kepada Daftar Pesalah Seksual Kanak-Kanak dibuka kepada umum bagi memudahkan usaha pencegahan dan perlindungan dalam kalangan masyarakat.

“Bukan untuk mengaibkan tetapi melindungi. Kita boleh mencontohi semangat kerjasama rentas sempadan antara pasukan polis seperti yang ditunjukkan oleh 13 negara Amerika Latin dan tujuh negara Eropah melalui rangkaian Europe‑Latin America Initiative for the Safety of Children and Adolescents (ELIPSIA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga boleh memperkasa kurikulum pendidikan kesihatan dengan memasukkan elemen keselamatan dalam talian supaya pelajar dapat mengenal pasti pemangsa dan tingkah laku tidak wajar dalam alam maya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan