SEPANG, 11 Jun (Bernama) -- Presiden Poland Andrzej Duda berlepas ke Singapura hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Pesawat khas yang membawa Duda, isteri Agata Kornhauser-Duda dan delegasinya berlepas pada 5.10 petang.
Duda diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Dobrowolski hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Presiden Poland dan delegasinya.
Semalam, Malaysia dan Poland bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan termasuk meneroka peluang perolehan jangka panjang serta penglibatan strategik antara kementerian pertahanan kedua-dua negara.
Ketika pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua pemimpin turut membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang utama lain seperti teknologi makanan, teknologi digital, tenaga boleh diperbaharu dan industri halal.
Anwar turut mengalu-alukan peningkatan pesat dalam perdagangan dua hala apabila perdagangan Malaysia-Poland meningkat sebanyak 19.5 peratus dari 2023 hingga 2024.
Malaysia merakamkan penghargaan kepada Poland atas kesudian menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, khususnya melalui sokongan kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan menyalurkan bantuan kecemasan.
Selain isu Gaza, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan global dan serantau yang lebih luas, termasuk pengalaman Malaysia dalam ASEAN, hubungan dengan China dan penglibatan negara dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Semasa lawatannya, Duda turut melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan dan menyampaikan syarahan awam di Asia-Europe Institute (AEI), Universiti Malaya.
Lawatan itu tepat pada masanya serta signifikan iaitu ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN, dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) pada separuh pertama 2025.
Pada 2024, Poland ialah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial