MELAKA, 11 Jun (Bernama) — Dialog Dasar Serantau Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ASEAN ke-4 (ATC 4th RPD) menekankan tiga pemangkin asas bagi sektor kemahiran tersebut.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam satu kenyataan memaklumkan tiga pemangkin tersebut ialah pendidikan dan latihan yang berkesan, pemenuhan keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir dan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat.
Menurut kenyataan itu, dialog berkenaan bertujuan merangka strategi menyeluruh dan dasar yang boleh dilaksanakan bagi memperluas akses, meningkatkan kualiti serta memastikan kerelevanan TVET, seiring keutamaan pembangunan luar bandar dan pertumbuhan inklusif.
“ATC 4th RPD dijangka menghasilkan cadangan dan rumusan praktikal untuk menyokong pembangunan dan penyelarasan sistem TVET negara dengan aspirasi serantau.
“Ia juga akan memperkukuh peranan Majlis TVET ASEAN sebagai platform utama bagi kerjasama, penyelarasan dan kesepaduan dasar TVET merentasi ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Dialog ini diadakan bersempena sambutan Hari TVET Negara 2025 yang berlangsung mulai hari ini hingga Jumaat, serta kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.
Ia turut disokong oleh Sekretariat ASEAN, Kerajaan Jerman melalui program Regional Cooperation on Labour Market Policy and TVET for Twin Transition in ASEAN (RECOTwin), dan Kerajaan Australia melalui program Aus4ASEAN Digital Transformation and Future Skills.
“ATC 4th RPD ini diadakan bertujuan menggalakkan kerjasama serantau, perkongsian ilmu serta perbincangan strategik mengenai peranan TVET sebagai pemangkin transformasi sosioekonomi luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.
“Ucaptama disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan peranan penting TVET dalam memacu keterangkuman dan kemampanan serta hasrat Malaysia untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan untuk pasaran kerja dinamik sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial,” menurut kenyataan itu.
Dialog tersebut menampilkan 29 ahli panel pakar daripada negara anggota ASEAN, Australia serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) yang terdiri daripada pembuat dasar, pegawai kerajaan, pihak industri dan tenaga pengajar TVET.
Sesi yang dilaksanakan secara hibrid selama dua hari bermula hari itu dihadiri lebih 300 peserta secara fizikal dan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial