ALOR SETAR, 10 Jun (Bernama) -- Komuniti MADANI diminta supaya mengoptimumkan penggunaan media sosial sebagai platform untuk menyalurkan maklumat sahih mengenai sesuatu isu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan antara inisiatif bagi memperkasakan Komuniti MADANI dalam usaha menangkis maklumat palsu sekali gus membekalkan maklumat yang tepat di peringkat akar umbi dengan lebih efisien.
"Kita akan minta Jabatan Penerangan untuk kumpul maklumat (salurkan) kepada mereka untuk disampaikan kepada komuniti masing-masing (melalui media sosial)," katanya selepas Majlis Perasmian Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Utara A di sini hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan ASAS untuk semua Komuniti MADANI juga akan ditambah baik dengan modul tambahan yang lebih terperinci agar dapat memberikan hasil lebih berkesan pada masa akan datang.
Fahmi juga berkata ASAS mampu membimbing Komuniti MADANI untuk berhujah dengan lebih baik, ringkas dan tepat bagi memastikan setiap penerangan difahami dengan jelas oleh rakyat.
"Bagi satu-satu isu yang timbul, biasanya (memerlukan) penyampaian maklumat yang ringkas dalam bentuk format dan cara sesuai dengan sesuatu komuniti supaya ia lebih berkesan," katanya.
Terdahulu, Fahmi menyantuni hampir 90 ahli Komuniti MADANI dari Kedah dan Perlis pada program anjuran JaPen itu.
Sementara itu, JaPen dalam kenyataan memaklumkan program tersebut merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan di peringkat akar umbi yang turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan komuniti sebagai ejen komunikasi berwibawa selaras dengan nilai-nilai yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Menurut JaPen, penganjuran kali ini merupakan yang ketiga bagi 2025 dan pertama di Zon Utara dan setakat ini, program ASAS telah melatih 420 peserta dari seluruh negara.
“Hasil penyertaan itu, sebanyak 335 video pendek yang menjelaskan pelbagai isu semasa telah dimuat naik oleh peserta di pelbagai platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha memperluas capaian maklumat sahih kepada masyarakat,” katanya.
Modul ASAS dibangun berasaskan pendekatan Training of Trainers yang bertujuan memastikan ahli Komuniti MADANI berupaya berperanan sebagai Key Opinion Leader di peringkat komuniti masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial