AM

MMK Pulau Pinang Teliti Tawaran Diskaun Kepada India Muslim, Chow Arah Perhalusi Polisi

08/06/2025 02:29 PM

GEORGE TOWN, 8 Jun (Bernama) -- Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri akan meneliti penawaran diskaun lima peratus kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan komuniti India Muslim di Pulau Pinang dan membuat keputusan yang sewajarnya demi kebaikan semua pihak.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo, untuk memperhalusi polisi tersebut bersama pihak pemaju bagi memanjangkan pemberian diskaun kepada semua pembeli.

Beliau berkata ia supaya polisi berkenaan lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.

“Kerajaan negeri telah menerima pelbagai maklum balas berhubung pengumuman langkah intervensi pemberian diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi tujuan pembelian unit hartanah siap tidak terjual sebagaimana diumumkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar pada 5 Jun.

“Sebahagian pandangan yang diterima serta dikemukakan menyatakan bahawa diskaun berkaitan sepatutnya juga ditawarkan kepada semua pembeli, dengan tujuan merangsang semula sektor hartanah terutamanya penjualan hartanah atau unit-unit tidak terjual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis, Sundarajoo mengumumkan diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial, menerusi Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MOC).

Perkara itu merupakan antara beberapa insentif dalam dasar berkenaan yang berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, selain memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis D dengan harga siling maksimum RM400,000 dan pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.

Dasar berkenaan merupakan langkah intervensi untuk merangsang semula sektor hartanah, selepas perbincangan dan persetujuan bersama pihak berkepentingan industri perumahan, mengambil kira lambakan unit bukan mampu milik yang semakin membimbangkan di Pulau Pinang.

Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,796 unit kediaman telah dikenal pasti sebagai tidak terjual, melibatkan pelbagai jenis hartanah kediaman di seluruh negeri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan