AM

Pavilion Kuala Lumpur Raikan Cuti Sekolah Bersama Stitch Sempena Kempen 'Aloha Summer'

05/06/2025 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Pavilion Kuala Lumpur meraikan musim cuti sekolah dengan membawakan watak kesayangan Stitch dari Disney menerusi kempen ‘Aloha Summer’, yang menawarkan pengalaman bertemakan tropika sempena tayangan semula filem aksi nyata Lilo & Stitch.

Kempen yang berlangsung sehingga 15 Jun itu telah mengubah pusat beli-belah berkenaan menjadi lokasi percutian berinspirasikan pantai, lengkap dengan hiasan berwarna-warni, barangan edisi khas, aktiviti interaktif serta sesi pertemuan bersama watak Stitch untuk pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.

Ketua Pegawai Eksekutif (Runcit) Pavilion Kuala Lumpur Datuk Joyce Yap berkata kerjasama dengan Disney itu bertujuan mencipta detik bermakna buat seisi keluarga sepanjang musim cuti sekolah ini.

“Kempen ‘Aloha Summer’ ini membawakan semangat ceria Stitch dalam bentuk yang menghiburkan, sesuai untuk peminat setia mahupun khalayak baharu. Menerusi aktiviti di seluruh pusat beli-belah ini, kami mengetengahkan semangat Stitch iaitu gabungan keceriaan, pengembaraan dan keakraban, di samping suasana santai musim panas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengunjung boleh meneroka Centre Court yang dihiasi seperti pulau tropika, diinspirasikan daripada latar Hawaii dalam cerita asal Stitch.

Ruang ini menempatkan reruai sementara dan aktivasi jenama termasuk barangan edisi khas oleh Parkson, mesin layan diri bertemakan Stitch daripada Miniso, koleksi barangan eksklusif daripada Metapark serta paparan kreatif LEGO Stitch di Spanish Steps.

Di kawasan Connection, Watsons turut mengadakan pameran khas bertemakan Lilo & Stitch yang menampilkan produk edisi terhad, hadiah bertemakan tropika dan kejutan membeli-belah eksklusif.

Pemegang kad Maybank pula berpeluang menikmati ganjaran tambahan sepanjang kempen ini, termasuk penebusan hadiah istimewa seperti beg kecil berbulu Lilo & Stitch, rantai kunci misteri edisi mewah atau beg tote gebu, tertakluk kepada terma dan syarat.

Joyce berkata penganjuran kempen ini bukan sahaja bertujuan memperkayakan pengalaman membeli-belah, malah mewujudkan kenangan bersama menerusi aktiviti kekeluargaan yang bermakna.

“Kami percaya setiap kunjungan harian boleh menjadi detik istimewa buat keluarga. Sama ada ketawa melihat telatah Stitch mahupun menikmati suasana tropika bersama, semua ini membantu membina hubungan emosi dan kenangan berharga,” katanya.

Selain dekorasi bertema, pelbagai persembahan dan aktiviti mesra keluarga turut disediakan. Antara yang menanti pengunjung ialah persembahan ukulele oleh Ferris Music, pertunjukan K-pop musim panas oleh Q-girls, tarian Latin bertemakan Latin Breeze in Hawaii serta bengkel kanak-kanak anjuran Curiouser London yang menggabungkan kreativiti dan pembelajaran.

Pengunjung juga boleh menikmati sajian manisan dari Frost N Bites sambil meneroka suasana perayaan di seluruh pusat beli-belah.

Untuk maklumat lanjut, layari www.pavilion-kl.com.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan