AM

Persoalan Undang-undang Bukan Tentang Kekebalan Peribadi Tetapi Integriti Perlembagaan - PM Anwar

04/06/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bukan tentang mendapatkan kekebalan peribadi atau melepaskan diri daripada siasatan undang-undang.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata permohonannya adalah berkaitan integriti sistem perlembagaan dan keperluan untuk memastikan bahawa pegawai tinggi kerajaan dilindungi daripada litigasi yang mungkin diatur masanya secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.

"Saya tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan mahkamah dan maruah tadbir urus demokrasi.

“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Artikel 128(2) Perlembagaan Persekutuan. 

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Dalam sidang media selepas prosiding, peguam bela Anwar Datuk Seri K.Raja Segaran berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan